Tuesday, February 15, 2011

Hari Keempat Kembara: Meninggalkan Melaka, menuju Seremban

Selepas puas mengelilingi sekitar bandar Melaka, akh Asyraf mengajak kami untuk makan di Food Court berhampiran, tak ingat nama tempatnya apa... tapi setelah berfikir-fikir untuk makan di mana, kami hanya singgah di A & W dan menjamu selera di sana. Kali ini, aku mengambil kesempatan untuk membayar kos makanan kami. Aku juga sudah lama tidak menjamah makanan 'western', makanya banyak juga 'side dishes' yang aku pesan, antaranya adalah wafer. Ianya tidak mengecewakan selepas sekian lama tidak menjamah makanan yang sedemikian. Sekali sekala merasa makanan segera tidaklah salah. Cuma, yang terbukti membantu Yahudi mestilah dijauhkan. Aku sampai ke saat dan waktu ini tidak lagi menjamah makanan McDonald biarpun sewaktu masa dahulu, itu adalah tempat yang aku sering kunjungi dan lepak-lepak. Tapi, setelah mengerti makna di sebalik boikot syarikat yang menyokong perjuangan Yahudi, aku meminimumkan penggunaan dan pembelian produk-produk.

boikot mereka yang menyokong Yahudi!
Seterusnya, setelah lama di A & W, kami kembali menuju ke Hospital Melaka, tempat di mana aku meletakkan kenderaanku. Kami mengerjakan solat maghrib dijamakkan dengan Isya' sebelum meneruskan perjalanan ke Seremban, Dr. Haikal menanti kami di Hospital Tuanku Jaafar, Seremban.

Kami mengambil lebuh raya untuk ke sana, memandangkan keperluan kami untuk berhenti di hentian R & R untuk menampal kalendar PAPISMA. Tiadalah kami melupakan tanggungjawab yang dipikulkan ke bahu kami, biarpun mungkin dilihat remeh oleh orang lain. Sekitar jam 10.00malam kami tiba di Hospital Tuanku Jaafar setelah sesat seketika untuk mencari arah. Adanya GPS tidak membantu, dek kerana ada jalan-jalan yang baru hendak dibina.

Hospital Tuanku Jaafar terletak nun di atas bukit, kami perlu mendaki bukit sebelum tiba di hospital berkenaan. Aku meletakkan kenderaan di tempat awam, sebelum bergegas ke Jabatan Kecemasan, dan menelefon Dr Haikal memaklumkan ketibaan kami. Aku mengambil kesempatan mengunjungi surau hospital untuk menunaikan solat sunat, dan mengambil kesempatan meletakkan satu kalendar PAPISMA di sana.

Aku masih menunggu-nunggu kelibat Dr Haikal. Aku berpandangan dirinya sebagai seorang doktor senior, tetapi ternyata andaianku itu silap sama sekali. Susuk tubuhnya dan raut wajahnya menampakkan dirinya sebagai seorang doktor muda. Dan ternyata, bila ditanyai lebih lanjut berkenaan dengan dirinya, Dr. Haikal adalah sama umurnya dengaku, malahan masih seorang HO! Aku berjabat tangan dengannya, dan selepas meminta izin untuk mengeluarkan duit daripada ATM berdekatan, dia mengajak aku dan akh Nik untuk keluar makan sementara tiada kerja baginya di hospital.

bersambung...

Monday, February 14, 2011

Hari Keempat Kembara: Melaka Bandaraya Bersejarah (3)

Catatanku banyak di Melaka, kerana dua hal:
1. banyak masa dihabiskan meneroka bandar Melaka, setelah sekian lama tidak menjejak kaki di sini
2. pertemuan dengan salah seorang daripada ahli usrah pimpinanku dulu, yang kuanggap seperti adikku sendiri, menggamit perasaan dan emosi

Kebanyakan catatanku di sini, berdasarkan pada keakrabanku dengan akh Asyraf. Analisis semasa sepanjang kembara di bandaraya bersejarah ini, cukup memberi impak padaku. Ianya atas sebab nilai sejarah yang wujud pada negeri ini. Negeri yang dihipotesiskan sebagai negeri pertama tanah Melayu yang menerima Islam sebagai agama mereka, dengan Pengislaman Parameswara, akhirnya diikuti oleh rakyat jelatanya. Ianya jasa pengembara-pengembara Islam. Sesungguhnya mereka tidak pernah lekang dari merealisasikan perjuangan menyebarkan Islam di muka bumi Allah ini. Maka, tidak hairan sekiranya suatu masa dahulu, Rom dan Parsi diruntuhkan empayarnya oleh pejuang-pejuang Islam. Kebanggaan diri sebagai seorang Islam ketika itu sangat besar. Mereka mengakui dan mengambil Islam secara keseluruhan. Di zaman kerajaan Melayu Melaka, hukum-hukum Islam ditegakkan. Kerajaan Melayu Melaka terus berkembang dan dilimpahi rahmat dan rezeki yang mencurah-curah hasil daripada kepatuhan pada hukum agama. Bahkan, boleh dikatakan kejatuhan kerajaan Melayu Melaka adalah disebabkan oleh kezaliman pemerintahnya pada masa itu yakni Sultan Mahmud Shah.
keserlahan binaan portugis di tinggalan A Famosa


The Ony Remaining part of the ancient fortress of Malacca bulid by Alfonso o Alboquerque and by him named Famosa, 1511. Near this stood the Bastion of Santiago...

aku dan Akh Asyraf bergmabar di pintu utama A Famosa

snap shot akh Asyraf Ezani

Portugis akhirnya berjaya menawan Melaka pada tahun 1511 dengan bantuan dari pihak dalaman dari kerajaan Melaka sendiri. Selepas daripada itu, A Famosa dibina untuk menahan serangan balas daripada pihak pahlawan Melayu Melaka. Tinggalannya masih lagi kelihatan sehingga sekarang. Aku tidak melepaskan peluang melawati tempat bersejarah tersebut. Biarpun terasa sangat terkesan dengannya lantaran pembinaannya dikatakan daripada runtuhan masjid dan bangunan lain. di dalam Islam, bila berlaku peperangan, dilarang sama sekali memusnahkan bangunan tempat ibadah kaum yang bukan Islam.


Sesekali aku termenung bila melihat masyarakat mundar-mandir di sekitar bangunan ini. Ianya hanya menjadi tempat lawatan biasa bagi mereka, sedangkan sejarahnya sarat dengan pengajaran yang sepatutnya perlu diambil tahu oleh setiap rakyat Malaysia. Mereka riang gembira bergambar berlatar belakangkan A Famosa, namun entah tahu atau tidak berkenaan dengan sejarahnya. Seiring dengan zaman, sejarah dan pengajaran yang berlaku semenjak 500 tahun yang lalu semakin luput dimakan usia, hanya berada di dalam buku teks sejarah semata. Melaka Bandaraya Bersejarah yang semakin dilupai sejarahnya...

Tuesday, February 8, 2011

Hari Keempat Kembara: Melaka Bandaraya Bersejarah (2)

Gereja St.  Paul
Sesudah beberapa minit berada di dalam menara tersebut pada ketinggian 80meter, kami dibawa kembali mendarat di bumi. Puas hati dengan pemandangan yang ada, kami seterusnya menuju bukit St. Paul, tempat terletaknya Gereja St. Paul...
akh Nik dan akh Asyraf bergambar di salah satu pintu masuk gereja
binaan yang jelas menampakkan usianya...

Melangkah kaki menjejak gereja tersebut, hati tidak merasa senang, melihat tempat yang dahulunya adalah benteng buat pahlawan Melayu Melaka membentengi diri daripada serangan Portugis diganti dengan gereja yang menjadi tempat sembahyang buat golongan kristian.

Asal gereja ini adalah 'chapel' buat Portugis, yang juga dikenali sebagai "Nosa Senhora", yang bermaksud  'Our Lady of The Hill'. Ia dibina oleh Duarte Coelho. Penukaran nama kepada Gereja St Paul adalah pada ketika Belanda menguasai Melaka. Sementara menunggu siapnya gereja Kristian mereka, 'Chapel' Portugis itu menjadi tempat untuk mereka sembahyang. Selepas siapnya gereja Kristian Belanda, Gereja St Paul menjadi tempat pengkebumian moyang-moyang umat Belanda.

Memasuki ruang gereja tersebut, tidak dapat tidak seseorang akan dapat menyaksikan 'batu nisan-batu nisan' moyang-moyang orang Belanda, tertangkup di dinding daripada disemadikan di tanah. Aku leka menyaksikan kesemua 'batu nisan' tersebut, biarpun kebanyakannya dalam bahasa Belanda. Seorang seniman dalam lingkungan umur pertengahan kelihatan mendendangkan lagu dalam bahasa Portugis. Kelihatan ramai yang mengelilinginya, teruja dengan kemerduan suaranya. Sambil menikmati halwa telinga dalam bahasa Portugis, aku menghala diri menuju ke sebuah telaga, yang kelihatan banyak syiling dilontarkan ke dalamnya. Kebanyakannya daripada syiling Malaysia juga!

Melayu dan Khurafat
Semakin aku menyelusuri bangunan-bangunan lama di Melaka, semakin aku menemui kebejatan pegangan umat Melayu. Aqidah yang semakin goyah memungkinkan akhlak remaja Melayu masa kini terus menerus merudum ditelan zaman. Dari kepercayaan yang keterlaluan kepada hantu sehinggalak kepercayaan tilikan nasib dan tangkal. ramai juga di kalangan umat Melayu yang mempercayai telaga ajaib sebagaimana orang kristian mempercayai. Mungkin sahaja sekadar suka-suka melontarkan syiling ke telaga di tengah-tengah gereja tersebut, tapi perbuatan itu tetap mengundang syak wasangka. Tiadalah sesuatu itu dilakukan hanya sia-sia...

Masyarakat Melayu kini juga tidak dapat lari daripada bomoh dan ilmu hitam. Hendak rezeki baik, kesembuhan dari penyakit, tempat utama yang dituju adalah rumah bomoh. Kedengkian umat Melayu sesama mereka sangat dahsyat sehingga sanggup menggunakan ilmu hitam untuk mengenakan kembali mereka yang dianggap musuh. Sedangkan Islam mengharamkan sama-sekali perbuatan menggunakan ilmu hitam kerana semestinya ianya bergantung kepada syaitan. Pergantungan pada syaitan adalah syirik yang besar! Aqidah mereka yang melakukan yang demikian semestinya boleh dipertikaikan!

Saturday, February 5, 2011

Hari Keempat Kembara: Melaka Bandaraya Bersejarah

Hubungan aku dan akh Asyraf yang seperti adik-beradik tidak memungkinkan pertemuan yang sebentar cuma. Apatah lagi, setelah menerima sms daripada Dr Haikal di Hospital Seremban yang meminta kami untuk hadir sedikit lewat ke sana. Akh Asyraf kuat mendesak aku untuk menghabiskan waktu meronda sekitar Melaka dengannya. Dan aku tidak mengecewakan. Begitu juga akh tidak mengecewakanku. Sepertinya, akh sangat mengetahui selok belok bandaraya bersejarah itu. Tiadalah menyukarkan baginya untuk mencari tempat meletakkan kenderaan. Kami seterusnya menapak menuju ke tempat-tempat kunjungan pelancong di sekitar bandaraya Melaka. Destinasi pertama? Menara Taming Sari! Ia merupakan antara tarikan terkini yang tersedia di sini. Kerajaan Melaka cuba mengintegrasikan nilai sejarah dan arus pembangunan tanpa mengenepikan segala macam monumen bersejarah di sekitar bandar. Kelihatan berderetan orang sedang menunggu giliran untuk merasai menara gyro yang berpusing yang pertama seumpamanya di Malaysia.

Isu Pembangunan Melaka
Sepanjang perjalanan menuju ke menara tersebut, sememangnya seseorang akan melalui laluan monorel, dikatakan untuk ambulasi pengunjung dari satu destinasi pelancongan dan satu lagi destinasi pelancongan. Antaranya adalah Menara Taming Sari, Eye on Malaysia (yang dikatakan terbengkalai) dan pelancongan menaiki bot sekitar sungai Melaka. Sayang sekali ianya hanya sekerat jalan, terbengkali begitu sahaja sama seperti Eye in Malaysia. Secara peribadi, aku tidak menghalang pembangunan, tapi biarlah berpatutan dan tidak berhenti di pertengahan, seolah-olah dilakukan hanya untuk mengaut keuntungan semata. Tidak hairan jika kontrak yang diberikan kepada syarikat pemaju adalah lebih daripada apa yang ditentukan, semata-mata untuk kepentingan diri sendiri. Audit kewangan negara menjadi bukti! Apa yang lebih menghairankan tiada pula SPRM mengambil tindakan.

Menara Taming Sari, Melaka

Aku menghayati dan menghargai niat baik kerajaan untuk memajukan sektor pelancongan Melaka. Bahkan, lawatan ke Melaka ini tidak kutinggalkan tanpa merasai sendiri menara gyro 'Taming Sari' yang popular itu. Biarpun sebentar cuma, (jika dapat lagi tinggi dan lama pastinya lebih memuaskan!) pemandangan sekitar bandar Melaka benar-benar mengujakan. Nun Kejauhan, Gereja St. Paul, Dataran Pahlawan, The Stadthuys yang merah warnanya, dan sungai serta bandar Melaka boleh dinikmati pemandangannya dari ketinggian 80m. Menunggu giliran untuk menaiki menara tersebut, pastinya setiap daripada yang menunggu merasa sedikit terganggu dengan bunyi 'hantu' datangnya daripada rumah hantu berdekatan, yang bagiku tiada signifikannya berada di situ malahan semakin mengganggu.
beratur panjang sebelum berjaya menikmati keindahan Melaka dari 80meter tinggi

snap shot aku dan Asyraf (Selamat pengantin baru! maaf tak dapat datang kedua-dua majlis...)


di dalam menara, menunggu tika dan masa diangkat ke atas...

akh Nik dan akh Asyraf... Nik kelihatan gusar

Dataran Pahlawan

Mahkota Parade

Selat Melaka

Sungai Melaka dan bandarayanya

The Stadthuys

Bukit St. Paul








Hantu dan Umat Melayu
Pelik... cerita-cerita hantu semakin dilambakkan di siaran televisyen. Sudahlah disiarkan pada waktu khamis, malam Jumaat, audiensnya pula kebanyakannya memang orang Melayu. Seolah-olah orang Melayu tidak boleh lari daripada cerita hantu. Sedangkan, apa yang perlu ditekankan pada usia muda remaja adalah rasa takut pada amaran dan larangan Allah! Masyarakat kita kembali mengorak langkah ke belakang dalam isu ini. Akidah yang sepatutnya diperkasakan terus disisihkan. Lambakan drama dan filem-filem seram menjadi pilihan. Syirik dan khurafat semakin diperkatakan. Sihir, ilmu hitam dan bomoh menjadi bualan. Sedar tak sedar, keesaan dan kebesaran Allah tidak pula menjadi bahan perbincangan.

Aku menggeleng-geleng kepala melihat kebanyakan pengunjung rumah hantu tersebut adalah juga dari kalangan umat Melayu...

bersambung...

Wednesday, January 26, 2011

Hari Keempat Kembara: PAPISMA Melaka

Aku punya kenalan yang agak ramai di Melaka. Antaranya, Asyraf Ezani dan Farizan Abdul Ghani. Kedua-duanya pernah bersama-samaku dalam gerak kerja Islam di kampus dahulu. Ada lagi Zaimah, yang sudah mendirikan rumah tangga dengan Faiz, teman sepengajian ku di UniMalaya suatu ketika dulu. Akh Asyraf antara pimpinan kampus yang agak terkehadapan dalam memberikan pendapatnya. Aku bertuah punya ahli usrah sepertinya. Seperti Husni Zaim di Ipoh, UniMalaya punya anak muda yang berjiwa pejuang bernama Asyraf Ezani. Aku mengenalinya sewaktu mula-mula dia mendaftarkan diri di UM. Dia mencari platform untuk mencurahkan tenaga, idea dan masa untuk Islam. Aku yang mengetahui akan semangat dan cita-citanya mengajaknya bersama-sama dalam gerak kerja. Kepimpinannya sangat menonjol. Dan dirinya sangat mengutamakan tarbiyah.
Aku menjumpainya dengan harapan untuk menyelesaikan satu masalah: tiada cawangan PAPISMA di Melaka!

Isunya, mengapa keadaan sedemikian boleh berlaku? Duduk bertentang mata dengan Asyraf, aku mengambil kesempatan tersebut bersoal-jawab dengannya. Ternyata, kekuatan yang ada di Hospital Melaka sangat terhad dengan bilangan ahli yang terbatas. Akh memberitahu dia hanya mengetahui seorang sahaja doktor pelatih lelaki, dan beberapa doktor perempuan termasuk Dr. Farizan. Bilangannya mungkin hanya 4 orang! Ada juga akh memberitahu yang dia pernah hanya sekali mengikuti usrah gabungan PAPISMA tengah (KL, Selangor, Melaka dan Negeri Sembilan). Disebabkan jarak yang panjang, menyebabkan keterikatan dengan usrah itu terurai sama sekali.

akh Nik, mengacu-acu 'straw', snap picture ni!


masih mencari penyelesaian atas isu PAPISMA Melaka...

keseriusan perbincangan dirasai oleh akh Nik... (setelah dimarahi gara-gara bermain 'straw', haha)


Aku sedikit terkesima dengan perubahan sikap dan semangat akh. Di mana pergi jiwa besarnya selama ini? seolah-olah sedikit halangan ini, menyebabkan dia tidak sanggup memimpin dan memecah dinding halangan ini. Mungkin disebabkan selama berada di kampus, akh berada di dalam zon selesa menyebabkan perubahan suasana ini melunturkan sedikit semangat akh. Pun begitu, aku memahami kesibukan dunia HO, dan mungkin akh menunggu waktu menghabiskan housemanship sebelum menggerakkan PAPISMA Melaka.

Aku mengambil kesempatan ini, untuk berbicara dengannya berkaitan dengan PAPISMA Melaka. Aku mengharapkan akan kesudian akh untuk memimpin PAPISMA di Melaka. Setelah lama berbincang, akh bersetuju untuk memimpin PAPISMA Melaka, meminta maklumat ahli di Melaka. Aku berjanji memberikan maklumat tersebut daripada PAPISMA pusat.

Bersambung...

Friday, January 21, 2011

Hari Keempat Kembara: Menuju Melaka

Tangki Air menyambut kehadiran kami ke Melaka



Sungai yang membataskan antara Negeri Sembilan dan Melaka

Aku bertolak menuju ke Melaka melalui jalan yang kulalui semalam. Jalan yang pada mulanya kami kesesatan gara-gara terlalu percaya kepada GPS! Walau bagaimanapun, ternyata jalan tersebut lebih dekat daripada melalui lebuh raya. Kami juga mengambil kesempatan berhenti di hentian-hentian bas yang ternyata lebih mesra poster, :) Melaka dan Negeri Sembilan tidak menghampakan pabila kebanyakan hentian bas sudah tersedia tempat untuk menampal poster. Pun begitu, kebanyakannya ada kesan-kesan koyakan iklan atau poster yang sebelumnya, makanya keyakinanku agar poster jauhi zina dapat bertahan lama tiadalah tinggi. Pun begitu, dakwah mesti tetap berjalan. Jikalau berkekalan alhamdulillah, jika tidak pun, sekurang-kurangnya niat kami untuk melihat tersebarnya kesedaran di kalangan remaja dan anak muda tidak dipandang sebelah mata oleh Allah s.w.t.

Kami melalui kawasan-kawasan kampung. Kebanyakan anak-anak muda adalah mereka yang bermotosikal. Fenomena ini dapat dilihat di mana-mana. Masih kuingat betapa liarnya anak muda masa kini, sehinggakan di Ipoh sewaktu ketika dulu, pada waktu menghampiri subuh, waktu yang sepatutnya masjid di sini, anak-anak muda ini mengisinya dengan lumba haram di jalanan. Aku menggeleng-geleng kepala melihat keadaan ini. Identiti Islam tidak lagi kelihatan daripada cara hidup mereka. Dalam diam, aku berdoa agar generasi masa hadapanku tiadalah mengikuti gaya hidup yang sedemikian. Aku juga memanjatkan doa agar diberikan hidayah oleh Allah.

Selamat Datang ke Melaka!

Memasuki Melaka, kami disambut dengan gerbang yang mengalu-alukan pengunjung ke sini. Gerbang yang cukup megah! Sebelumnya, semasa kami melintasi sebatang sungai yang mana jambatannya terus menuju dan memasuki Melaka, ada di seberangnya tangki yang menunjukkan ucapan selamat datang kepada kami. Ternyata, banyak usaha dilakukan untuk menarik pelancong dari dalam mahu pun luar negara ke negeri yang bersejarah ini.

Kereta Myviku terus meluncur menuju bandaraya Melaka. Destinasinya? Hospital Melaka, tempat akh Dr Asyraf Ezani bekerja. Sudah agak lama aku tidak melawat negeri ini. Kebanyakan destinasi pelancongan di sini tidak berubah. Ketika aku menghadiri majlis kahwin ukhti Nani dan akh Hafiz, aku sempat menumpang di rumah akh Fadhli di pinggir bandar Melaka. Dahulunya, aku datang tika waktu matrikulasi seingat aku. Ketika itu, destinasinya adalah zoo Melaka dan juga taman buayanya. Sebelumnya, aku menjejakkan kaki ke negeri ini tika waktu sekolah rendah dan sekolah Menengah. Itupun, ketika kejohanan Hari Kecemerlangan SBP (HKSBP) yang menyaksikan aku mewakili sekolahku dalam debat bahasa Inggeris. Tiadalah aku ke mana-mana pun sewaktu kejohanan berlangsung. 

Sudah agak lewat aku sampai di hospital. Ketika itu, sudah menghampiri waktu Asr. Agak lama juga aku menunggu akh Asyraf. Memahami keadaannya yang baru sahaja on-call malam sebelumnya, aku sabar menunggu kehadirannya. Sambil memandang hospital yang agak kusam dan 'old school', aku bercakap-cakap dengan akh Nik. Sebetulnya, akh Asyraf tidak mengetahui tempat letaknya keretaku, jadinya sedikit kesukaran bertemu dengannya. Aku mengambil inisiatif menuju ke pintu utama hospital. Beberapa minit kemudian, ternyata akh Asyraf tiba dengan kereta Myvinya. Aku bersalaman dengannya dan kami diajak keluar makan. Kebetulannya, akh sendiri tidak makan tengahari lagi disebabkan mengqadha tidurnya malam semalam.

aku dan akh Asyraf Ezani
Akh Asyraf membawa kami ke tempat makan yang berdekatan. Agaknya kerana sudah agak lewat, menyebabkan kami tiada banyak pilihan lauk untuk dimakan. Pun begitu, kerana perut sudah berkeroncong, kami memilih sahaja apa yang tersedia. Banyak dibualkan sepanjang waktu makan tersebut, bahkan berlanjutan sehingga selepas itu! Al-maklum, aku dan dia sudah sebati sebagai seorang abang dan adik, biarpun aku baru selesai pengajian dan dia sudah hendak menamatkan 'housemanship'nya...

bersambung...

Hari Keempat kembara: Gambar-gambar sekitar Rehlah PAPISMA Tengah

makin jauh makin sayang... ada rasa tak??


ni ngelat ni... sengaja mendekatkan diri, hehe

elok-elok tangkap belon berisi air tu...

akh Nik yang tak nak join... malu-malu kucing!

bayang-bayang siapa ni??

akh Nik tersenyum lebar... dengan alasan sakit perut tak boleh join...

isi air dalam botol

kumpulan 2 mendapat tempat kedua... kumpulan siapa lagi jika bukan kumpulanku!

test2... tengok banyak mana la air boleh isi lekukan tangan

Ustaz Jameer tadah tangan sambut air tercicir... berjayakah?

apa yang pentin?... KERJASAMA!

lari!lari! sebelum air kering...

air makin terisi... kepuasan jelas terpampang oleh kumpulan 2 sementera kumpulan satu terduduk melihat botol kami.

setiap saat dan waktu dikira! lari dan lari lagi...

air laut yang terbentang luas... terikan matahari tidak menghalang sukaneka PAPISMA Tengah

sebelum berangkat pulang... sekeping gambar kenangan

maaf buat kumpulan 2... aku gagal meneruskan perjuanga hingga ke akhir atas himpitan waktu yang memaksa.