Friday, January 21, 2011

Hari Keempat Kembara: Menuju Melaka

Tangki Air menyambut kehadiran kami ke Melaka



Sungai yang membataskan antara Negeri Sembilan dan Melaka

Aku bertolak menuju ke Melaka melalui jalan yang kulalui semalam. Jalan yang pada mulanya kami kesesatan gara-gara terlalu percaya kepada GPS! Walau bagaimanapun, ternyata jalan tersebut lebih dekat daripada melalui lebuh raya. Kami juga mengambil kesempatan berhenti di hentian-hentian bas yang ternyata lebih mesra poster, :) Melaka dan Negeri Sembilan tidak menghampakan pabila kebanyakan hentian bas sudah tersedia tempat untuk menampal poster. Pun begitu, kebanyakannya ada kesan-kesan koyakan iklan atau poster yang sebelumnya, makanya keyakinanku agar poster jauhi zina dapat bertahan lama tiadalah tinggi. Pun begitu, dakwah mesti tetap berjalan. Jikalau berkekalan alhamdulillah, jika tidak pun, sekurang-kurangnya niat kami untuk melihat tersebarnya kesedaran di kalangan remaja dan anak muda tidak dipandang sebelah mata oleh Allah s.w.t.

Kami melalui kawasan-kawasan kampung. Kebanyakan anak-anak muda adalah mereka yang bermotosikal. Fenomena ini dapat dilihat di mana-mana. Masih kuingat betapa liarnya anak muda masa kini, sehinggakan di Ipoh sewaktu ketika dulu, pada waktu menghampiri subuh, waktu yang sepatutnya masjid di sini, anak-anak muda ini mengisinya dengan lumba haram di jalanan. Aku menggeleng-geleng kepala melihat keadaan ini. Identiti Islam tidak lagi kelihatan daripada cara hidup mereka. Dalam diam, aku berdoa agar generasi masa hadapanku tiadalah mengikuti gaya hidup yang sedemikian. Aku juga memanjatkan doa agar diberikan hidayah oleh Allah.

Selamat Datang ke Melaka!

Memasuki Melaka, kami disambut dengan gerbang yang mengalu-alukan pengunjung ke sini. Gerbang yang cukup megah! Sebelumnya, semasa kami melintasi sebatang sungai yang mana jambatannya terus menuju dan memasuki Melaka, ada di seberangnya tangki yang menunjukkan ucapan selamat datang kepada kami. Ternyata, banyak usaha dilakukan untuk menarik pelancong dari dalam mahu pun luar negara ke negeri yang bersejarah ini.

Kereta Myviku terus meluncur menuju bandaraya Melaka. Destinasinya? Hospital Melaka, tempat akh Dr Asyraf Ezani bekerja. Sudah agak lama aku tidak melawat negeri ini. Kebanyakan destinasi pelancongan di sini tidak berubah. Ketika aku menghadiri majlis kahwin ukhti Nani dan akh Hafiz, aku sempat menumpang di rumah akh Fadhli di pinggir bandar Melaka. Dahulunya, aku datang tika waktu matrikulasi seingat aku. Ketika itu, destinasinya adalah zoo Melaka dan juga taman buayanya. Sebelumnya, aku menjejakkan kaki ke negeri ini tika waktu sekolah rendah dan sekolah Menengah. Itupun, ketika kejohanan Hari Kecemerlangan SBP (HKSBP) yang menyaksikan aku mewakili sekolahku dalam debat bahasa Inggeris. Tiadalah aku ke mana-mana pun sewaktu kejohanan berlangsung. 

Sudah agak lewat aku sampai di hospital. Ketika itu, sudah menghampiri waktu Asr. Agak lama juga aku menunggu akh Asyraf. Memahami keadaannya yang baru sahaja on-call malam sebelumnya, aku sabar menunggu kehadirannya. Sambil memandang hospital yang agak kusam dan 'old school', aku bercakap-cakap dengan akh Nik. Sebetulnya, akh Asyraf tidak mengetahui tempat letaknya keretaku, jadinya sedikit kesukaran bertemu dengannya. Aku mengambil inisiatif menuju ke pintu utama hospital. Beberapa minit kemudian, ternyata akh Asyraf tiba dengan kereta Myvinya. Aku bersalaman dengannya dan kami diajak keluar makan. Kebetulannya, akh sendiri tidak makan tengahari lagi disebabkan mengqadha tidurnya malam semalam.

aku dan akh Asyraf Ezani
Akh Asyraf membawa kami ke tempat makan yang berdekatan. Agaknya kerana sudah agak lewat, menyebabkan kami tiada banyak pilihan lauk untuk dimakan. Pun begitu, kerana perut sudah berkeroncong, kami memilih sahaja apa yang tersedia. Banyak dibualkan sepanjang waktu makan tersebut, bahkan berlanjutan sehingga selepas itu! Al-maklum, aku dan dia sudah sebati sebagai seorang abang dan adik, biarpun aku baru selesai pengajian dan dia sudah hendak menamatkan 'housemanship'nya...

bersambung...

No comments:

Post a Comment