Cerita Housemen di Hospital Kajang
Aku teringat seimbas lalu akan kenyataan seorang sahabat seperjuangan di majlis kesyukuran akh Ustaz Hidayat sebentar tadi. Zaujahnya seorang HO di Hospital Serdang, dan sekarang sedang bercuti atas nasihat kaunselor. Khabarnya, ada tanda-tanda depresi. Katanya lagi, Hospital Kajang juga mempunyai rekod depresi di kalangan HO juga. Klarifikasi daripada akh Husni menidakkan keadaan yang sedemikian.
Pun begitu, mana-mana hospital juga mempunyai rekod masalah depresi di kalangan HO. Mungkin kerana tahap stres yang luar biasa. Aku yang baru sahaja menjejak kaki ke alam HO juga merasa tahap stres yang sedemikian, tetapi tiadalah sehingga depresi. Ia adalah kebiasaan bagi seorang HO didedahkan dengan keadaan yang sedemikian. Cumanya, bagaimana caranya kita menghadapinya, itu yang membezakan antara seorang HO daripada HO yang lain. Akhirnya, mereka yang pernah terdedah dengan tarbiyah Islam, adalah antara orang yang berjaya mengharungi alam HO dengan baik, biar setinggi mana pun stres. Islam mengajar umatnya untuk senantiasa mengingati Allah, nescaya hati kita akan menjadi tenang. Stres yang ditimpa pada diri kita itu adalah yang mampu kita hadapi. Tidak mungkin bagi Allah meletakkan sesuatu yang tidak mampu kita hadapi. Kembalilah pada Allah, nescaya ada jalan keluarnya.
Usrah PAPISMA Tengah
Aku berkenalan dengan beberapa orang yang lain, mahasiswa-mahasiswa perubatan HUKM dan beberapa orang suami kepada doktor PAPISMA. Maaf, aku lupa merekodkan nama-nama kalian, menyebabkan tika dan waktu catatan ini dibuat, aku sudah memadamnya dari memori silam. Cuba kucungkil kembali jua, tapi tetap gagal (mungkin kerana diisi dengan hal-ehwal kerja yang mencengkam, hehe...).
Seusai solat Maghrib, Usrah dipimpin oleh Ustaz Jameer, memberi laluan kepada aku sebagai wakil xpdc untuk memberi ucapan. Aku kaget sendirian, tidak disangka diberi peluang untuk berucap sepatah dua. Gugup juga bila memulai ucapan, dan tiadalah aku yakin sangat akan keberadaan aku di situ. Ku gagahi menceritakan cerita kembara semenanjung buat audiens yang doktor-doktornya kebanyakannya lebih tua daripada aku, dan mahasiswa HUKM yang jauh lebih muda daripada aku. Tidak banyak yang boleh kuceritakan, cuma kembali memaklumi audiens akan kejadian di Kuala Berang dan Tangkak tempoh hari, dan mengingatkan bahawa dakwah itu tetap ada halangannya, tiadalah ia bersifat diterima sepanjang masa, ada masanya kita akan ditentang, apatah lagi bila kepentingan diri digugat.
Ustaz Jameer seterusnya mengisi malam itu dengan pengisian matan arba'in yang menceritakan perihal sedekah. Sekiranya tidak silap aku, hadith yang dibawa pada malam itu adalah hadith ke 26, yang lebih kurang bunyinya seperti berikut:
Daripada Abu Hurairah r.a : Bahawa Nabi SAW telah bersabda :
" Setiap anggota manusia harus membuat sedekah setiap hari apabila matahari terbit. Engkau mendamaikan antara dua orang adalah sedekah. Dan engkau menolong sesaorang menaiki tunggangannya atau pun engkau menolong mengangkat baginya barang-barang ke atas tunggangnya adalah sedekah, dan perkataan yang baik itu sedekah. Dan pada tiap-tiap langkah menuju ke tempat sembahyang adalah sedekah. Dan engkau menjauhkan bahaya dari jalan laluan juga menjadi sedekah. "
Perbincangan berputar sekitar sedekah, yang diperluaskan skopnya kepada perkara-perkara kebaikan. Diperingatkan akan setiap sendi manusia berjumlah 360 itu punya fungsi sedekahnya yang tersendiri.
Aku sendiri pernah mendengar fungsi solat Dhuha yang menggerakkan setiap 360 sendi tersebut dan merupakan antara amalan Rasulullah s.a.w yang dituntut.
Usrah selesai dengan solat Isya' seterusnya disambung kepada sedikit barbeque dan penyerahan kalendar PAPISMA pada Dr. Sabrizan, wakil kepada PAPISMA Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
| adik-adik mahasiswa HUKM tekun membakar ayam, akh Husni sebagai 'konsultan', hehe |
| maaf kalian, aku sudah tidak dapat mengingati nama kalian tempoh hari. Namun, terima kasih tak terhingga atas layanan semasa kami berada di sana. |
| Dr. Sabrizan menerima kalendar PAPISMA daripada aku. Selesai satu tugas lagi... |
No comments:
Post a Comment