Wednesday, January 26, 2011

Hari Keempat Kembara: PAPISMA Melaka

Aku punya kenalan yang agak ramai di Melaka. Antaranya, Asyraf Ezani dan Farizan Abdul Ghani. Kedua-duanya pernah bersama-samaku dalam gerak kerja Islam di kampus dahulu. Ada lagi Zaimah, yang sudah mendirikan rumah tangga dengan Faiz, teman sepengajian ku di UniMalaya suatu ketika dulu. Akh Asyraf antara pimpinan kampus yang agak terkehadapan dalam memberikan pendapatnya. Aku bertuah punya ahli usrah sepertinya. Seperti Husni Zaim di Ipoh, UniMalaya punya anak muda yang berjiwa pejuang bernama Asyraf Ezani. Aku mengenalinya sewaktu mula-mula dia mendaftarkan diri di UM. Dia mencari platform untuk mencurahkan tenaga, idea dan masa untuk Islam. Aku yang mengetahui akan semangat dan cita-citanya mengajaknya bersama-sama dalam gerak kerja. Kepimpinannya sangat menonjol. Dan dirinya sangat mengutamakan tarbiyah.
Aku menjumpainya dengan harapan untuk menyelesaikan satu masalah: tiada cawangan PAPISMA di Melaka!

Isunya, mengapa keadaan sedemikian boleh berlaku? Duduk bertentang mata dengan Asyraf, aku mengambil kesempatan tersebut bersoal-jawab dengannya. Ternyata, kekuatan yang ada di Hospital Melaka sangat terhad dengan bilangan ahli yang terbatas. Akh memberitahu dia hanya mengetahui seorang sahaja doktor pelatih lelaki, dan beberapa doktor perempuan termasuk Dr. Farizan. Bilangannya mungkin hanya 4 orang! Ada juga akh memberitahu yang dia pernah hanya sekali mengikuti usrah gabungan PAPISMA tengah (KL, Selangor, Melaka dan Negeri Sembilan). Disebabkan jarak yang panjang, menyebabkan keterikatan dengan usrah itu terurai sama sekali.

akh Nik, mengacu-acu 'straw', snap picture ni!


masih mencari penyelesaian atas isu PAPISMA Melaka...

keseriusan perbincangan dirasai oleh akh Nik... (setelah dimarahi gara-gara bermain 'straw', haha)


Aku sedikit terkesima dengan perubahan sikap dan semangat akh. Di mana pergi jiwa besarnya selama ini? seolah-olah sedikit halangan ini, menyebabkan dia tidak sanggup memimpin dan memecah dinding halangan ini. Mungkin disebabkan selama berada di kampus, akh berada di dalam zon selesa menyebabkan perubahan suasana ini melunturkan sedikit semangat akh. Pun begitu, aku memahami kesibukan dunia HO, dan mungkin akh menunggu waktu menghabiskan housemanship sebelum menggerakkan PAPISMA Melaka.

Aku mengambil kesempatan ini, untuk berbicara dengannya berkaitan dengan PAPISMA Melaka. Aku mengharapkan akan kesudian akh untuk memimpin PAPISMA di Melaka. Setelah lama berbincang, akh bersetuju untuk memimpin PAPISMA Melaka, meminta maklumat ahli di Melaka. Aku berjanji memberikan maklumat tersebut daripada PAPISMA pusat.

Bersambung...

Friday, January 21, 2011

Hari Keempat Kembara: Menuju Melaka

Tangki Air menyambut kehadiran kami ke Melaka



Sungai yang membataskan antara Negeri Sembilan dan Melaka

Aku bertolak menuju ke Melaka melalui jalan yang kulalui semalam. Jalan yang pada mulanya kami kesesatan gara-gara terlalu percaya kepada GPS! Walau bagaimanapun, ternyata jalan tersebut lebih dekat daripada melalui lebuh raya. Kami juga mengambil kesempatan berhenti di hentian-hentian bas yang ternyata lebih mesra poster, :) Melaka dan Negeri Sembilan tidak menghampakan pabila kebanyakan hentian bas sudah tersedia tempat untuk menampal poster. Pun begitu, kebanyakannya ada kesan-kesan koyakan iklan atau poster yang sebelumnya, makanya keyakinanku agar poster jauhi zina dapat bertahan lama tiadalah tinggi. Pun begitu, dakwah mesti tetap berjalan. Jikalau berkekalan alhamdulillah, jika tidak pun, sekurang-kurangnya niat kami untuk melihat tersebarnya kesedaran di kalangan remaja dan anak muda tidak dipandang sebelah mata oleh Allah s.w.t.

Kami melalui kawasan-kawasan kampung. Kebanyakan anak-anak muda adalah mereka yang bermotosikal. Fenomena ini dapat dilihat di mana-mana. Masih kuingat betapa liarnya anak muda masa kini, sehinggakan di Ipoh sewaktu ketika dulu, pada waktu menghampiri subuh, waktu yang sepatutnya masjid di sini, anak-anak muda ini mengisinya dengan lumba haram di jalanan. Aku menggeleng-geleng kepala melihat keadaan ini. Identiti Islam tidak lagi kelihatan daripada cara hidup mereka. Dalam diam, aku berdoa agar generasi masa hadapanku tiadalah mengikuti gaya hidup yang sedemikian. Aku juga memanjatkan doa agar diberikan hidayah oleh Allah.

Selamat Datang ke Melaka!

Memasuki Melaka, kami disambut dengan gerbang yang mengalu-alukan pengunjung ke sini. Gerbang yang cukup megah! Sebelumnya, semasa kami melintasi sebatang sungai yang mana jambatannya terus menuju dan memasuki Melaka, ada di seberangnya tangki yang menunjukkan ucapan selamat datang kepada kami. Ternyata, banyak usaha dilakukan untuk menarik pelancong dari dalam mahu pun luar negara ke negeri yang bersejarah ini.

Kereta Myviku terus meluncur menuju bandaraya Melaka. Destinasinya? Hospital Melaka, tempat akh Dr Asyraf Ezani bekerja. Sudah agak lama aku tidak melawat negeri ini. Kebanyakan destinasi pelancongan di sini tidak berubah. Ketika aku menghadiri majlis kahwin ukhti Nani dan akh Hafiz, aku sempat menumpang di rumah akh Fadhli di pinggir bandar Melaka. Dahulunya, aku datang tika waktu matrikulasi seingat aku. Ketika itu, destinasinya adalah zoo Melaka dan juga taman buayanya. Sebelumnya, aku menjejakkan kaki ke negeri ini tika waktu sekolah rendah dan sekolah Menengah. Itupun, ketika kejohanan Hari Kecemerlangan SBP (HKSBP) yang menyaksikan aku mewakili sekolahku dalam debat bahasa Inggeris. Tiadalah aku ke mana-mana pun sewaktu kejohanan berlangsung. 

Sudah agak lewat aku sampai di hospital. Ketika itu, sudah menghampiri waktu Asr. Agak lama juga aku menunggu akh Asyraf. Memahami keadaannya yang baru sahaja on-call malam sebelumnya, aku sabar menunggu kehadirannya. Sambil memandang hospital yang agak kusam dan 'old school', aku bercakap-cakap dengan akh Nik. Sebetulnya, akh Asyraf tidak mengetahui tempat letaknya keretaku, jadinya sedikit kesukaran bertemu dengannya. Aku mengambil inisiatif menuju ke pintu utama hospital. Beberapa minit kemudian, ternyata akh Asyraf tiba dengan kereta Myvinya. Aku bersalaman dengannya dan kami diajak keluar makan. Kebetulannya, akh sendiri tidak makan tengahari lagi disebabkan mengqadha tidurnya malam semalam.

aku dan akh Asyraf Ezani
Akh Asyraf membawa kami ke tempat makan yang berdekatan. Agaknya kerana sudah agak lewat, menyebabkan kami tiada banyak pilihan lauk untuk dimakan. Pun begitu, kerana perut sudah berkeroncong, kami memilih sahaja apa yang tersedia. Banyak dibualkan sepanjang waktu makan tersebut, bahkan berlanjutan sehingga selepas itu! Al-maklum, aku dan dia sudah sebati sebagai seorang abang dan adik, biarpun aku baru selesai pengajian dan dia sudah hendak menamatkan 'housemanship'nya...

bersambung...

Hari Keempat kembara: Gambar-gambar sekitar Rehlah PAPISMA Tengah

makin jauh makin sayang... ada rasa tak??


ni ngelat ni... sengaja mendekatkan diri, hehe

elok-elok tangkap belon berisi air tu...

akh Nik yang tak nak join... malu-malu kucing!

bayang-bayang siapa ni??

akh Nik tersenyum lebar... dengan alasan sakit perut tak boleh join...

isi air dalam botol

kumpulan 2 mendapat tempat kedua... kumpulan siapa lagi jika bukan kumpulanku!

test2... tengok banyak mana la air boleh isi lekukan tangan

Ustaz Jameer tadah tangan sambut air tercicir... berjayakah?

apa yang pentin?... KERJASAMA!

lari!lari! sebelum air kering...

air makin terisi... kepuasan jelas terpampang oleh kumpulan 2 sementera kumpulan satu terduduk melihat botol kami.

setiap saat dan waktu dikira! lari dan lari lagi...

air laut yang terbentang luas... terikan matahari tidak menghalang sukaneka PAPISMA Tengah

sebelum berangkat pulang... sekeping gambar kenangan

maaf buat kumpulan 2... aku gagal meneruskan perjuanga hingga ke akhir atas himpitan waktu yang memaksa.

Monday, January 17, 2011

Hari Keempat Kembara: Rehlah PAPISMA Tengah (2)

Pagi itu, dengan dipimpin oleh Ustaz Jameer dengan kereta 'Honda Wish'nya. Aku mengambil keputusan untuk menumpang Husni dengan kereta Proton Personanya, sekaligus merasai keselesaan kereta baru. Sebenarnya, aku sendiri merasa lelah memandu kereta myVi selama 3 hari berturut-turut. Biarpun, ada sahaja perhentian kami untuk berehat dan mengisi tenaga kembali, pemanduan kereta di jalan raya di Malaysia sangat menuntut fokus dan konsentrasi yang sangat tinggi disebabkan gaya pemanduan rakyat Malaysia yang mementingkan diri. Biarpum aku mengakui, aku kekadang juga melakukan kesalahan di jalan raya, kesalahan-kesalahan tersebut aku lakukan atas dasar kurang pengalaman di jalan raya. Itupun, selama kemalangan yang kualami, hanya sekali sahaja disebabkan oleh kesalahan diriku sendiri. Kesempatan menumpang kereta akh Husni, kuambil untuk merehatkan minda dan menyimpan fokus yang sedia ada untuk perjalanan yang lebih menuntutku memberi konsentrasi lebih.

kami menuju ke pantai Port Dickson yang sememangnya dipenuhi dengan pengunjung bertepatan dengan hujung minggu. Semestinya ramai yang mengambil kesempatan ini beristirehat bersama keluarga dan menenangkan fikiran daripada kesibukan kerja. Oleh sebab itu, sedikit kesukaran buat kami mencari lokasi untuk melakukan aktiviti sukaneka pada pagi itu. beberapa kali kami berhenti meninjau, dan terpaksa membatalkan hasrat atas kepadatan pengunjung ke tempat berkenaan. Setelah berpusing-pusing sekitar pantai tersebut, akhirnya kami mengambil keputusan meneruskan agenda kami di pesisiran pantai di belakang sebuah hotel yang kebetulan tiadalah ramai sangat pengunjungnya.

pantai Port Dickson menggamit pengunjung

Aku dan akh Husni, kelihatan dirinya lebih kurus berbanding dahulu

pantai Port Dickson, masih banyak yang perlu diperbaiki. kelihatan lumpur terkumpul di satu sudut laut...

kami menuju ke hujung pesisiran pantai, yang kebetulannya tiadalah seramai mana pengunjung. beberapa acara sukaneka diatur. Aku, dan akh Husni menyertai sama aktiviti yang dijalankan. Kelihatannya majoriti penyertaan sukaneka daripada adik-adik mahasiswa HUKM ditambah dengan kehadiran Ustaz Jameer. Akh Nik tidak menyertai, lebih suka berdiri di tepi dan mengambil foto-foto kami beraksi. Aktiviti pertama adalah membaling belon berisi air. Mulanya jarak sangat pendek, kemudiannya semakin jauh dan jauh. Dinamakan aktiviti ini, 'semakin jauh semakin sayang', mungkin berkaitan dengan ukhuwwah barangkali. Kumpulanku berada di tempat akhir berbanding 4 kumpulan lain; 2 kumpulan muslimin, 3 kumpulan muslimat. Persefahaman antara kami masih tidak terbentuk pada saat ini, jadinya kekalahan ini sebagai pencetus kerjasama yang lebih baik pada aktiviti seterusnya. Buktinya?

Kami menduduki tempat kedua pada aktiviti kedua! Aktiviti kedua memerlukan kami untuk mengaut air laut dan memasukkan ke dalam botol air mineral. Kelebihan kumpulanku yang mempunyai ramai jejaka bersaiz besar memungkinkan kami mengaut air dengan banyak. Pun begitu, tidak disangka-sangka kumpulan muslimat yang tiadalah mempunyai saiz sebesar kami mampu menggondol tempat pertama. Sangkaku, ada di kalangan mereka memainkan muslihat, haha (gurau-gurau saja...).


Kepanasan matahari mencengkam kami selama berada di pantai. Ustaz Jameer menganjurkan kami beralih tempat ke kawasan teduhan di satu sudut di hujung pantai. Dr. Azri yang membawa bersamanya anak kecilnya lega dengan teduhan yang memberi kesejukan buat anaknya. Beliau tidak menyertai kami, hanya sekadar menjadi pemerhati sambil meberi perhatian pada anakya.

Dalam waktu menunggu persediaan untuk aktiviti seterusnya, adik-adik mahasiswa HUKM menyiapkan set membakar barbeque, dengan lebihan daging dan sotong daripada semalam. Aku, akh Nik dan akh Husni duduk bersama-sama sambil berkongsi cerita dan pengalaman. Di saat angin bayu menyapa, aku lantas menyedari sesuatu yang tersangat peribadi sehinga tidak memungkinkan aku untuk bersama-sama dengan ahli PAPISMA zon tengah sehingga ke akhir program. Sementelahan, aku juga perlu bertolak ke Melaka dan Negeri Sembilan, buat menunaikan amanah yang masih tidak terlaksana. Jadual yang diatur pada awalnya terpaksa diubah untuk mengejar masa dan waktu. Aku meminta izin untuk bergerak dahulu, dan meneruskan kembara ke destinasi seterusnya. Akh Husni menghantar kami pulang ke bungalow. Setelah bersiap-siap, aku dan akh Nik berpisah dengan akh Husni yang kembali menyertai rehlah.

bersambung...

Tuesday, January 11, 2011

Hari Keempat Kembara: Rehlah PAPISMA Tengah

Hari keempat bermula seawal 5.30 pagi bagi diriku.

akh Nik dan akh Husni lebih awal bangun. Akh Nik awal-awal lagi sudah mandi dan bersiap seterusnya mengerjakan qiamullail di dalam bilik dan mengasingkan diri dari orang lain. Akh Husni menggeliat dan menunggu aku menghabiskan basuhan wudhu'ku ke kaki. Ada di kalangan sahabat-sahabat PAPISMA Tengah termasuk adik-adik mahasiswa HUKM yang sudah bangun seawal 5 pagi untuk qiamullail. Kelihatan susuk tubuh Ustaz Jameer khusyuk mengerjakan solat sunat dua waktu. Aku juga tidak ketinggalan, biarpun waktu semakin menghampiri Subuh, namun kesempatan yang ada biarpun sedikit sahaja aku gunakan untuk menunaikan solat Tahajjud 2 rakaat dan solat witr satu rakaat. Kedua-dua solat ini sangat digalakkan untuk senantiasa beramal buat bekalan kekuatan rohaniyah seorang yang ingin terus istiqamah dalam perjuangan Islam.

Selepas Subuh, sedikit perkongsian daripada Dr. Azri berkenaan mehnah dan tribulasi bergelar seorang doktor. Banyak yang dikongsi bersama, antaranya bagaimana untuk tetap istiqamah dalam perjuangan biarpun sangat sibuk dengan tugas sebagai seorang doktor. Hendaklah sentiasa sabar, dan tidak meninggalkan usrah. Usrah sebagai satu medium meningkatkan diri dan menjana kembali iman dan stamina untuk perjuangan. Pengurusan masa sangatlah penting. Jangan tinggalkan solat biar seletih mana pun. Al-ma'thurat yang dihafal tika kampus sangat berguna, sebolehnya jangan ditinggalkan.

seusai pengisian pagi, mengikut tentatif, senaman ala kung fu... Aku menunggu dengan tekun 'kung fu' yang bakal dipersembahkan, rupa-rupanya senaman biasa sahaja. Mungkin juga disebabkan pakarnya tidak hadir, hehe...

Selesai senaman, kami bersiap-siap ke pantai Port Dickson untuk sedikit aktiviti sukaneka....
laut terbentang luas menanti...

bersambung...

Berhenti Sejenak...

Mungkin ada yang sudah tahu. Aku kini sudah memulakan kehidupan sebagai seorang 'houseman' di Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu. Sekiranya dilihat kepada post terbaru ialah pada hari semalam dan pada 2 hari sebelumnya. Aku mengambil sedikit waktu untuk menyesuaikan diri dengan jadual waktu yang agak ketat. 5 hari pertama aku 'tagging', seterusnya terus 'on-call' pertama. Biarpun keletihan, tetapi berbaloi kerana aku lebih suka sibuk sebegini daripada hidup tidak berbuat apa-apa (betul ke?).

masihkah ada cuti-cuti sebegini??? -bergambar di Danga Bay, JB

Pun begitu, sekadar memaklumkan pada semua, aku sudah menjumpai rentak untuk mengimbangi diri antara kerjaya dan komitmen gerak kerja. Cuma, komitmen gerak kerja itu bergantung pada kelapanganku. Pun begitu, blog ini akan dikemaskini dari semasa ke semasa sekiranya punya waktu seperti waktu-waktu sebegini.

Aku akan 'on-call' kembali pada waktu esok...

Doakan moga aku diberi kekuatan untuk terus istiqamah dalam perjuangan...

Monday, January 10, 2011

Hari Ketiga Kembara: sekitar malam Rehlah PAPISMA Tengah

Sementara menanti Maghrib, aku mengambil keputusan bermesra dengan akh Husni, bertanya khabar dan mengetahui khabar terbaru bekas anak buahku itu. Akh merupakan HO di Hospital Kajang, (mungkin sekarang sudah posting keduanya) seperti yang sedia maklum sangat sibuk. Pun begitu, aku mengagumi komitmennya hadir pada program PAPISMA petang itu sedangkan ada arahan agar semua HO jabatan beliau hadir bekerja sehari selepas program (iaitu hari ahad itu!). Jelas, semangat, komitmen dan daya kepimpinannya masih belum luntur.

Cerita Housemen di Hospital Kajang
Aku teringat seimbas lalu akan kenyataan seorang sahabat seperjuangan di majlis kesyukuran akh Ustaz Hidayat sebentar tadi. Zaujahnya seorang HO di Hospital Serdang, dan sekarang sedang bercuti atas nasihat kaunselor. Khabarnya, ada tanda-tanda depresi. Katanya lagi, Hospital Kajang juga mempunyai rekod depresi di kalangan HO juga. Klarifikasi daripada akh Husni menidakkan keadaan yang sedemikian.

Pun begitu, mana-mana hospital juga mempunyai rekod masalah depresi di kalangan HO. Mungkin kerana tahap stres yang luar biasa. Aku yang baru sahaja menjejak kaki ke alam HO juga merasa tahap stres yang sedemikian, tetapi tiadalah sehingga depresi. Ia adalah kebiasaan bagi seorang HO didedahkan dengan keadaan yang sedemikian. Cumanya, bagaimana caranya kita menghadapinya, itu yang membezakan antara seorang HO daripada HO yang lain. Akhirnya, mereka yang pernah terdedah dengan tarbiyah Islam, adalah antara orang yang berjaya mengharungi alam HO dengan baik, biar setinggi mana pun stres. Islam mengajar umatnya untuk senantiasa mengingati Allah, nescaya hati kita akan menjadi tenang. Stres yang ditimpa pada diri kita itu adalah yang mampu kita hadapi. Tidak mungkin bagi Allah meletakkan sesuatu yang tidak mampu kita hadapi. Kembalilah pada Allah, nescaya ada jalan keluarnya.

Usrah PAPISMA Tengah
Aku berkenalan dengan beberapa orang yang lain, mahasiswa-mahasiswa perubatan HUKM dan beberapa orang suami kepada doktor PAPISMA. Maaf, aku lupa merekodkan nama-nama kalian, menyebabkan tika dan waktu catatan ini dibuat, aku sudah memadamnya dari memori silam. Cuba kucungkil kembali jua, tapi tetap gagal (mungkin kerana diisi dengan hal-ehwal kerja yang mencengkam, hehe...).

Seusai solat Maghrib, Usrah dipimpin oleh Ustaz Jameer, memberi laluan kepada aku sebagai wakil xpdc untuk memberi ucapan. Aku kaget sendirian, tidak disangka diberi peluang untuk berucap sepatah dua. Gugup juga bila memulai ucapan, dan tiadalah aku yakin sangat akan keberadaan aku di situ. Ku gagahi menceritakan cerita kembara semenanjung buat audiens yang doktor-doktornya kebanyakannya lebih tua daripada aku, dan mahasiswa HUKM yang jauh lebih muda daripada aku. Tidak banyak yang boleh kuceritakan, cuma kembali memaklumi audiens akan kejadian di Kuala Berang dan Tangkak tempoh hari, dan mengingatkan bahawa dakwah itu tetap ada halangannya, tiadalah ia bersifat diterima sepanjang masa, ada masanya kita akan ditentang, apatah lagi bila kepentingan diri digugat.

Ustaz Jameer seterusnya mengisi malam itu dengan pengisian matan arba'in yang menceritakan perihal sedekah. Sekiranya tidak silap aku, hadith yang dibawa pada malam itu adalah hadith ke 26, yang lebih kurang bunyinya seperti berikut:

Daripada Abu Hurairah r.a : Bahawa Nabi SAW telah bersabda :
" Setiap anggota manusia harus membuat sedekah setiap hari apabila matahari terbit. Engkau mendamaikan antara dua orang adalah sedekah. Dan engkau menolong sesaorang menaiki tunggangannya atau pun engkau menolong mengangkat baginya barang-barang ke atas tunggangnya adalah sedekah, dan perkataan yang baik itu sedekah. Dan pada tiap-tiap langkah menuju ke tempat sembahyang adalah sedekah. Dan engkau menjauhkan bahaya dari jalan laluan juga menjadi sedekah. " 

Perbincangan berputar sekitar sedekah, yang diperluaskan skopnya kepada perkara-perkara kebaikan. Diperingatkan akan setiap sendi manusia berjumlah 360 itu punya fungsi sedekahnya yang tersendiri.
Aku sendiri pernah mendengar fungsi solat Dhuha yang menggerakkan setiap 360 sendi tersebut dan merupakan antara amalan Rasulullah s.a.w yang dituntut.
Usrah selesai dengan solat Isya' seterusnya disambung kepada sedikit barbeque dan penyerahan kalendar PAPISMA pada Dr. Sabrizan, wakil kepada PAPISMA Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

adik-adik mahasiswa HUKM tekun membakar ayam, akh Husni sebagai 'konsultan', hehe

maaf kalian, aku sudah tidak dapat mengingati nama kalian tempoh hari. Namun, terima kasih tak terhingga atas layanan semasa kami berada di sana.

Dr. Sabrizan menerima kalendar PAPISMA daripada aku. Selesai satu tugas lagi...

Saturday, January 8, 2011

Hari Ketiga Kembara: tiba di Port Dickson!

sudah agak petang semasa kami meninggalkan perkarangan rumah akh Ust Hidayat. Kami mengambil keputusan mengikuti jalan alternatif menuju Post Dickson, dengan harapan untuk menampal poster di sepanjang perjalanan. Alhamdulillah, urusan kami dimudahkan apabila kebanyakan tempat menunggu bas telah tersedia papan kenyataan atau tempat untuk menampal poster, terutamanya di Melaka. Aku menggunakan kemudahan GPS untuk memberi petunjuk perjalanan.

Akh Husni
Dalam perjalanan, kami dihubungi akh Husni, yang merupakan ahli usrah kendalianku semasa di kampus suatu ketika dulu. Rupa-rupanya akh sangat merindui kami, memandangkan akh merasakan kesunyian tiada kenalan di rehlah PAPISMA tengah. Akh sebenarnya sudah sampai agak awal di lokasi rehlah, ketika mana yang lain masih lagi tidak kelihatan. Dengarnya, dia dimaklumkan rehlah bermula jam 2 petang! Sedangkan sepengetahuanku, rehlah bermula selepas Asr.

Akh Husni, orangnya juga tidak kurang hebatnya, lahir hasil dari tarbiyah Islamic Student Club (ISC) di UNIKL-RCMP. Dia juga Presiden kepada GAMIS Perak ketika zamannya. Semenjak mudanya lagi, bakat kepimpinannya cukup terserlah. Bahkan, aku tiada ragu-ragu memberikan taklifan padanya untuk memimpin usrah tanpa perlu aku bersusah payah bersedia (hehe, sepertinya aku sangat malas).

Akh Husni seringkali menguhubungi kami petang itu. lebih-lebih ketikamana selepas Asr, adalah aktiviti bebas. Kelihatannya, akh berseorangan menanti di lokasi selepas kebanyakan peserta rehlah yang lain mengambil kesempatan menuju ke pantai dan bersantai-santi di sana.

Mencari Lokasi
Sejujurnya, aku tidak mengetahui sangat lokasinya, walaupun rasanya baru sahaja aku ke sana untuk mengikuti satu kem Aqidah ketika berada di UniMalaya sedikit waktu dahulu. Taman Peranginan Mutiara, khabarnya tempatnya adalah di bungalow yang disewa. Kebanyakan bungalow di sini dipunyai oleh mereka yang berada di luar daripada lokasi, guna untuk didiami ketika bercuti. Aku terpaksa menghubungi Ustaz Jameer untuk memastikan arah perjalanan. GPS tidak membantu kerana tiada dalam paparan skrin taman yang ingin ditujui.

Alhamdulillah, selepas terlepas agak jauh daripada lokasi, rupa-rupanya jalan masuknya benar-benar berada di hadapan kami semasa kami berhenti untuk menghubungi Ustaz Jameer sebentar tadi. Aku terpaksa berpatah balik dan masuk ke jalan tersebut.

Tiba di Lokasi
Aku hanya mengikuti panduan yang diberikan oleh Ustaz Jameer dan tiadalah susah mencari tempat yang dituju, apatah lagi dengan bilangan kereta yang agak banyak diletakkan di hadapan bungalow tersebut. Sesampainya kami di sana, kelihatan sesusuk tubuh yang sangat kukenal. Walaupun sedikit kurus, ternyata wajah cerianya dengan sepasang kaca mata, dengan rambut lurus dan sekilas seperti seorang cina, tiadalah susah bagi kami untuk mengecamnya. Akh Husni baru sahaja keluar daripada kereta Persona barunya, kemungkinan daripada pantai barangkali.

 Kami berpelukan dan akh membawa kami memasuki laman bungalow yang kebetulannya hanya tinggal beberapa orang sahaja. Aku bersalaman dengan beberapa orang (maaf, tidak berkenalan sangat ketika ini, masih keletihan setelah seharian berada di jalan raya) dan berjumpa dengan Ustaz Jameer memaklumkan kehadiran kami ke Rehlah tersebut....

bersambung lagi....