kami menuju ke pantai Port Dickson yang sememangnya dipenuhi dengan pengunjung bertepatan dengan hujung minggu. Semestinya ramai yang mengambil kesempatan ini beristirehat bersama keluarga dan menenangkan fikiran daripada kesibukan kerja. Oleh sebab itu, sedikit kesukaran buat kami mencari lokasi untuk melakukan aktiviti sukaneka pada pagi itu. beberapa kali kami berhenti meninjau, dan terpaksa membatalkan hasrat atas kepadatan pengunjung ke tempat berkenaan. Setelah berpusing-pusing sekitar pantai tersebut, akhirnya kami mengambil keputusan meneruskan agenda kami di pesisiran pantai di belakang sebuah hotel yang kebetulan tiadalah ramai sangat pengunjungnya.
| pantai Port Dickson menggamit pengunjung |
| Aku dan akh Husni, kelihatan dirinya lebih kurus berbanding dahulu |
| pantai Port Dickson, masih banyak yang perlu diperbaiki. kelihatan lumpur terkumpul di satu sudut laut... |
kami menuju ke hujung pesisiran pantai, yang kebetulannya tiadalah seramai mana pengunjung. beberapa acara sukaneka diatur. Aku, dan akh Husni menyertai sama aktiviti yang dijalankan. Kelihatannya majoriti penyertaan sukaneka daripada adik-adik mahasiswa HUKM ditambah dengan kehadiran Ustaz Jameer. Akh Nik tidak menyertai, lebih suka berdiri di tepi dan mengambil foto-foto kami beraksi. Aktiviti pertama adalah membaling belon berisi air. Mulanya jarak sangat pendek, kemudiannya semakin jauh dan jauh. Dinamakan aktiviti ini, 'semakin jauh semakin sayang', mungkin berkaitan dengan ukhuwwah barangkali. Kumpulanku berada di tempat akhir berbanding 4 kumpulan lain; 2 kumpulan muslimin, 3 kumpulan muslimat. Persefahaman antara kami masih tidak terbentuk pada saat ini, jadinya kekalahan ini sebagai pencetus kerjasama yang lebih baik pada aktiviti seterusnya. Buktinya?
Kami menduduki tempat kedua pada aktiviti kedua! Aktiviti kedua memerlukan kami untuk mengaut air laut dan memasukkan ke dalam botol air mineral. Kelebihan kumpulanku yang mempunyai ramai jejaka bersaiz besar memungkinkan kami mengaut air dengan banyak. Pun begitu, tidak disangka-sangka kumpulan muslimat yang tiadalah mempunyai saiz sebesar kami mampu menggondol tempat pertama. Sangkaku, ada di kalangan mereka memainkan muslihat, haha (gurau-gurau saja...).
Kepanasan matahari mencengkam kami selama berada di pantai. Ustaz Jameer menganjurkan kami beralih tempat ke kawasan teduhan di satu sudut di hujung pantai. Dr. Azri yang membawa bersamanya anak kecilnya lega dengan teduhan yang memberi kesejukan buat anaknya. Beliau tidak menyertai kami, hanya sekadar menjadi pemerhati sambil meberi perhatian pada anakya.
Dalam waktu menunggu persediaan untuk aktiviti seterusnya, adik-adik mahasiswa HUKM menyiapkan set membakar barbeque, dengan lebihan daging dan sotong daripada semalam. Aku, akh Nik dan akh Husni duduk bersama-sama sambil berkongsi cerita dan pengalaman. Di saat angin bayu menyapa, aku lantas menyedari sesuatu yang tersangat peribadi sehinga tidak memungkinkan aku untuk bersama-sama dengan ahli PAPISMA zon tengah sehingga ke akhir program. Sementelahan, aku juga perlu bertolak ke Melaka dan Negeri Sembilan, buat menunaikan amanah yang masih tidak terlaksana. Jadual yang diatur pada awalnya terpaksa diubah untuk mengejar masa dan waktu. Aku meminta izin untuk bergerak dahulu, dan meneruskan kembara ke destinasi seterusnya. Akh Husni menghantar kami pulang ke bungalow. Setelah bersiap-siap, aku dan akh Nik berpisah dengan akh Husni yang kembali menyertai rehlah.
bersambung...
No comments:
Post a Comment