Perjalanan ke Kuantan selepas itu, kami hanya berhenti di dua hentian, satu di Masjid Muktafi billah Shah, Dungun dan Stesen Shell. Di stesen Shell, kami menunaikan solat Zuhr dan Asr secara Qasar dan Jama'. Kedua-duanya diiringi dengan menampal kalendar PAPISMA. Kami tiba di Kuantan sekitar jam 2.30 petang.
Sesampainya di Kuantan, aku bergerak memandu Myvi mencari tempat-tempat strategik untuk tampalan poster. Jalan-jalan di Kuantan memang sibuk. Kebanyakan lampu isyarat punya waktu menunggu yang lama. Aku sendiri menjadi tidak sabar, hanya untuk menunggu kiraan digital diaktifkan untuk 13 saat sebelum lampu hijau.Sebelumnya, kiraan digital tidak akan menunjukkan apa-apa. Satu lagi keunikan jalan-jalannya adalah lorong-lorongnya adalah terbatas untuk ke satu arah, terutamanya lorong yang di sebelah paling kanan, akan menuju ke sebelah kanan. Jika anda tersalah masuk ke lorong paling kanan, bermakna anda terpaksa membelok ke sebelah kanan biarpun destinasi anda adalah berjalan terus.
Misi Dakwah di Terminal Darul Makmur, Kuantan
Akhirnya, setelah beberapa kali kecewa dengan membelok ke kanan (hehe, tahap stres tika ni memang tinggi, tapi ada waktunya lagi tinggi, terutama pada hari kedua!), aku menetapkan matlamat ke Terminal Darul Makmur untuk misi dakwah kali ini. Setelah berpusing-pusing stadium bola sepak, dan gagal mendapatkan tempat meletakkan kenderaan dengan seorang pegawai majlis perbandaran menunggu untuk menyaman kenderaan yang tidak meletakkan kupon 'parking' dalam kereta, aku mengambil keputusan membayar rm1.50 untuk meletakkan kenderaan benar-benar berhadapan dengan terminal.
Alhamdulillah, di terminal telah disediakan ruang khusus untuk kempen-kempen seperti ini. Sudah ada, tertampal kemas di situ poster anti-dadah. Jadinya, kami mengambil tempat bersebelahan dengan poster-poster tersebut. Kelihatan, beberapa remaja agak berminat dengan aktiviti kami. Apatah lagi, dengan pengambilan gambar oleh akh Nik sebagai kenangan kembara. Kami juga menampal poster di bangunan terbiar, bersebelahan dengan terminal, tetapi menjadi tumpuan anak-anak muda dan orang ramai menunggu teksi.
East Coast Mall
ada 'catchy phrase' pada kompleks membeli belah ini. Sekali lagi aku dikecewakan oleh lampu isyarat yang spesik menuju ke kanan. Asalnya, ingin ke Berjaya Mega Mall, tapi tidak berjaya menuju ke sana, menyebabkan kami mengambil keputusan untuk ke East Coast Mall. 'The most happening place in Kuantan' ? hm... frasa yang digunakan mungkin berjaya menarik minat orang-orang yang baru menjejakkan kaki ke Kuantan ini. Akan tetapi, setelah tidak berjaya ke destinasi yang benar-benar ingin dituju, kami tiada pilihan sedangkan apa yang kami cari hanyalah sekeping peta untuk membantu kembara, dengan GPS yang hanya boleh digunakan sekerat perjalanan dan punya risikonya yang tersendiri.
Alhamdulillah, sekali lagi urusan kami dipermudahkan oleh Allah. Peta yang dicari mudah dijumpai di satu-satunya kedai buku di situ.
tak adalah 'happening' sangat tempat ni... :)
Perjumpaan dengan Dr. Fadzli Yazid
Selesai urusan di East Coast Mall, kami bergerak ke Hospital Tengku Ampuan Afzan untuk berjumpa wakil PAPISMA Pahang di Kuantan iaitu Dr. Fadzli Yazid di klinik pembedahan, di pusat jagaan harian. Kelihatannya, doktor baru sahaja habis pertemuan dengan doktor-doktor lainnya. Beliau baru sahaja 'post-call', jadi agak keletihan. Bertukar-tukar maklumat dengan Doktor, perjumpaan berakhir dengan satu pertemuan diatur pada malamnya bagi penyerahan kalendar PAPISMA.
Doktor membuat panggilan dan mengatur penginapan kami di rumah sewa mahasiswa UIA.
Akh Fikri
lebih kurang jam 5 petang, seorang mahasiswa UIA bernama Fikri menjemput kami di hospital. Kami dibawa ke rumahnya untuk istirehat.
Akh Fikri adalah mahasiswa kursus pergigian tahun empat. Menariknya, akh Fikri sudah berkahwin semenjak tahun kedua lagi. Bercakap-cakap dengan beliau, ternyata di kampus UIA, berkahwin awal adalah satu budaya. Ramai yang sudah mendirikan rumahtangga pada usia seawal 20-21 tahun. Pada ketika itu, isterinya yang merupakan mahasiswa kursus dietetik semester akhir tidak berada di rumah.
Jika punya kemampuan dan sudah cukup syarat-syaratnya, sememangnya perkahwinan sangatlah dituntut. Apatah lagi ia juga adalah salah satu sunnah Rasul. Tiada alasan untuk remaja-remaja di luar sana berterusan berada dalam perhubungan yang tidak menepati syariat hanya semata untuk memenuhi habuan nafsu duniawi semata. Teringat pada isu perkahwinan remaja 14 tahun baru-baru ini yang heboh diperkatakan di seluruh negara. Bagi aku, itu merupakan contoh betapa sebenarnya tiadalah salah meneruskan niat baik untuk berkahwin, apatah lagi remaja-remaja terutamanya perempuan semakin awal usia matangnya. Oleh sebab itu jugalah, kempen jauhi zina ini digerakkan oleh PAPISMA. Bukankah lebih mulia dengan berkahwin? ('catchy phrase' dalam poster, hehe)
bersambung...
No comments:
Post a Comment