Akh Hafiz telah melukiskan peta perjalanan ke Batu Pahat memandangkan kami tidak mengetahui selok belok jalan sekitar Johor. Aku akui kebanyakan perjalanan kami berpandukan kepada arahan-arahan dan pertolongan mereka yang lebih arif. Akh Hafiz biarpun berasal dari Slim River, Perak merupakan orang yang boleh dipercayai dalam pergerakan-pergerakan di luar kampus yang melibatkan kampus. Dia punya hobi mengumpul peta-peta setiap negeri, makanya tidak hairan dia mampu mengenali jalan-jalan di Muar, bahkan seluruh Johor dengan mudah. Terima kasih Akh! Moga berjumpa lagi di lain kali...
Batu Pahat
Ini merupakan kali pertama aku menjejakkan kaki ke daerah ini. Dalam perjalanan, aku menyedari suatu tempat yang agak pelik namanya: Pantai Minyak Beku... Setelah ku 'google', ternyata tempat itu adalah tempat yang bersejarah sekali. Kampung Minyak Beku menyimpan sejarah asal namanya Batu Pahat. Sayang sekali aku tidak punya waktu yang lama untuk melawat tempat-tempat sebegitu, atas desakan tanggungjawab. Kereta Myvi WPD terus meluncur di jalanan menuju Putra Specialist Hospital.
Dr. Khairussaleh
Kami tiba di Putra Specialist Hospital pada waktu menghampiri maghrib, menghubungi Dr. Khairussaleh yang beberapa minit kemudian sampai di hospital dari masjid yang berdekatan. Aku tidak pernah bersua muka dengan Dr, cuma mendengar daripada akh Nik yang pernah bertugas bersama dengan Dr di Bukit Gantang. Ternyata benar apa yang dikatakan oleh Nik, beliau seorang yang peramah dan senang didampingi. Beliau baru sahaja berpindah ke hospital berkenaan daripada Kuantan dan merupakan seorang pakar bedah. Zaujah beliau adalah seorang cikgu dan telah berjaya dalam proses pertukaran ke Batu Pahat. Walaupun demikian, buat sementara waktu, Dr masih berseorangan. Kelihatan dalam keretanya, gaya seperti seorang 'bujang', hehe.
Kami dibawa ke masjid untuk solat Maghrib, seterusnya dibawa untuk makan malam. Mulanya ingin merasa nasi briyani gam yang terkenal di Batu Pahat, iaitu nasi briyani Md Isa, namun kecewa setelah melihat kedainya tutup. Makanya, kami ke kedai makan yang lain untuk merasa nasi briyani yang biasa-biasa sahaja. Pun begitu, masih lagi menyelerakan. Sambil menikmati hidangan, banyak yang dibualkan termasuk pengalaman Dr dalam melanjutkan karier sebagai pakar bedah setelah gagal dalam cubaan menjadi pakar bedah ortopedik.
Dengan janji yang perlu ditunaikan pada En. Hud untuk berjumpa pada 10mlm di JB, aku terpaksa mengucapkan selamat tinggal dan terima kasih pada Dr. Khairussaleh pada jam 8.30mlm. Mungkin akan singgah di sini lagi untuk merasa nasi briyani yang terkenal itu, :)
JB menanti seterusnya...
bersambung...
No comments:
Post a Comment