Hospital Sultan Ismail, JB
| Hospital Sultan Ismail, JB... sebahagian sahaja, terlalu besar untuk dipotret secara keseluruhan, :) |
Kami memerlukan sedikit masa untuk mengisi kembali energi yang semakin luput semenjak 2 hari sebelumnya. Aku juga mengambil kesempatan mengemaskini blog, yang baru ketika itu terfokus pada hari pertama kembara. (Kini sudah hari ke-4 post-kembara... terhenti di hari ketiga) Akh Fadhli meninggalkan kunci rumah sewanya pada kami, memandagkan dia perlu bekerja pada hari tersebut. Setelah merasa diri kembali energetik dan cukup bersedia secara mental untuk kembali membawa kenderaan, aku dan akh Nik menuju Hospital Sultan Ismail, tempat akh Fadhli bekerja.
Hospital yang tersergam indah ini, adalah salah sebuah daripada dua hospital besar di Johor Bahru yang menyediakan latihan kepada pegawai-pegawai perubatan siswazah gred UD41. Sebuah lagi hospital adalah Hospital Sultanah Aminah. Kedua-duanya dibina untuk menampung keperluan perubatan penduduk JB yang seramai lebih kurang 700, 000 orang. Melalui jalan menuju ke wad ortopedik di mana akh bekerja, aku sangat mengagumi akan seni bina dan keluasan hospital ini. Tampaknya, sangat selesa buat pesakit. Hospital yang mesra pelanggan. (mesra HO? entah...)
Kami tiada masalah untuk menemuinya selepas mendapat kerjasama baik daripada kedua-dua puan pengawal keselamatan di pintu masuk wad-wad di tingkat 3 dan di pintu masuk ke wad ortopedik.Kami menemui akh di wad ortopedik, dengan gaya bersahajanya memakai seluar 'jeans' biru dan baju kemeja berkolar sedang melakukan 'round'. Dia sudah berpangkat 'HMO' atau dulunya bergelar MO jr. jadinya dia sudah memikul tanggungjawab seperti MO di wadnya. Aku menyerahkan kunci rumah kepadanya dan kembali turun ke bawah setelah berterima kasih kepada akh serta kedua-dua pengawal keselamatan. Kelihatannya, keselamatan hospital ini dijaga dengan baik, Setiap pergerakan pelawat diawasi dan hanya sesetengah pelawat sahaja dibenarkan masuk di luar waktu melawat hospital. Aku menjadi senang hati atas kerjasama dan rasa tanggungjawab keduanya. Tiadalah doktor merasa terganggu dengan pelawat-pelawat yang tidak berkenaan sewaktu sesi 'round'.
Sempadan Singapura-Malaysia
Selepas membeli belah di Jusco berdekatan; membeli roti dan air sebagai pengalas perut dan sehelai tuala (selepas tertinggal di rumah sahabat-sahabat UIA, huhu), kereta kami meluncur menuju ke tempat-tempat menarik sekitar JB. Dalam minda, tiada kerungsingan lantaran jaminan en Hud untuk menguruskan poster buat negeri Johor. Destinasi kami: Masjid Abu Bakar, Danga Bay. Dalam perjalanan, kami melalui JB Sentral yang sangat besar, rasanya lebih besar daripada KL Sentral! Kelihatan binaannya futuristik dan menempatkan stesen keretapi KTM dan stesen bas. Ia akan menggantikan terminal Larkin dan khabarnya LRT akan dihubungkan kepadanya sedikit waktu lagi.
| Singapura... terlihat sangat dekat sekali |
| kenderaan bersesak ingin masuk ke Malaysia... (abaikan contengan, hehe) |
Menyelusuri jalan menuju Danga Bay, aku melewati sempadan antara negara kita dan negara Singapura. Aku mengambil kesempatan bergambar di situ. Kelihatan jalan masuk dan keluar dari Malaysia ke Singapura begitu sibuk sekali. Kenderaan-kenderaan bersesak-sesak di jalanan, dan sepertinya tiada penghujung. Di sebelah sana, merentasi Selat Tebrau, adalah Singapura. Negara itu terkenal sebagai negara yang walaupun kecil punya ambisi yang cukup besar. Dengan ambisi tersebut, Singapura mengembangkan tanahnya hasil daripada tanah yang didapati dari dasar laut, negara jiran dan bukit-bukau. Maka tidak hairan jika menjelang 2030, keluasan Singapura boleh bertambah sebanyak 100 km2 lagi!
Sejarah Singapura
Pada mulanya, Singapura adalah salah satu negeri di dalam Malaysia. Namun, Singapura di bawah pimpinan Lee Kuan Yew pada tahun 1965 telah mengambil keputusan untuk keluar dari Malaysia ketika kepimpinan Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj. Lee Kuan Yew mempersoalkan kedudukan orang Melayu sebagai teraju kepimpinan negara dengan mengemukakan konsep 'Malaysian Malaysia'. Lee Kuan Yew mendakwa orang Melayu hanya berjumlah 39% manakala bukan Melayu adalah 51%, makanya melayakkannya menjadi Perdana Menteri. Demi mengelak daripada keadaan menjadi lebih panas dan tidak terkawal, Tunku mengambil keputusan untuk mengeluarkan Singapura daripada Malaysia.
Kini, Singapura bergerak sendirian dengan hala tujunya yang tersendiri. Malahan, Singapura dianggap sebagai negara dunia pertama oleh sekutunya, Amerika Syarikat sedangkan Malaysia masih lagi dianggap sebagai negara dunia ketiga... di mana silapnya???
bersambung...
No comments:
Post a Comment