Monday, December 27, 2010

Hari Ketiga Kembara: majlis kesyukuran Ust. Khairul Hidayat

Sudah menjadi rutin kembara, berhenti di hentian-hentian sepanjang lebuhraya dan mula menampal kalendar-kalendar PAPISMA, sebagai satu sumbangan ikhlas daripada PAPISMA. Ia secara langsung dapat memperkenalkan PAPISMA pada mereka.

PAPISMA dan Masyarakat
Sudah acap kali juga aku, dan beberapa orang rakan terlibat dalam aktiviti kemasyarakatan PAPISMA, baik dalam khidmat kesihatan atau aktiviti khatan beramai-ramai. Keterlibatan PAPISMA dalam masyarakat memang tidak dinafikan, cuma tidak diperhebohkan sebagaimana NGO-NGO lain seperti MERCY. Ia lebih bersifat 'low-profile', mengutip kekuatan secara berdikit-dikit. Usaha memperkenalkan masyarakat pada PAPISMA diperhebatkan pada kembara kali ini.

Kereta meluncur menyelusuri lebuh raya Utara Selatan, menuju ke Melaka, lokasi majlis kesyukuran sahabat lamaku daripada UniMalaya, Ustaz Khairul Hidayat.

Ustaz Khairul Hidayat
Orang yang hebat ini punya tarbiyah yang cukup mantap. Kemampuan organisasinya juga bukan calang-calang. Pun begitu, beliau tidak pula meninggi diri, bahkan sangat 'humble' dan senang dirapati oleh sekelian masyarakat terutama golongan yang berumur lebih muda. Tidak hairan jikalau beliau diterima dengan baik oleh anak muridnya. Pun begitu, ketegasan beliau dalam memperjuangkan prinsip Islam yang hakiki tiada duanya. Fleksibiliti dirai namun tidak sesekali melampaui dan melangkaui prinsip dan asas Islam. Tarbiyah yang berbentuk fizikal tidak dinafikan kepentingannya, namun tiadalah sampai kepada menzalimi diri. Mungkin ramai yang memahami akan pernyataan yang aku utarakan ini. Beliau memperjuangkan tarbiyah yang bersifat lembut tetapi tegas. kefahaman lebih diutamakan, tetapi tiadalah membelakangkan prinsip ketegasan dalam berjuang.

Aku tidak pasti sejak bila kau mengenali beliau, tapi rasa-rasanya ketika aku melanjutkan tahun kedua pengajianku di Ipoh. Biarpun jauh daripada ibu kota Kuala Lumpur, namun keterikatan aku dengan beliau termetrai dalam hal-hal berhubung perjuangan. Banyak aku pelajari dari sudut organisasi, dan diskusi berhubung pengisian tarbiyah.

Indahnya Ukhuwwah
Kami tiba di majlis tersebut jam 4.30 petang. Selepas 'Asr, rombongan sahabat-sahabat seperjuangan tiba meraikan majlis yang sama. Kelihatan di celahan-celahan, Dr. Aini dan Dr. Syahida bersama-sama dengan mereka. Kedua-duanya adalah kenalan daripada kursus perubatan UniMalaya. Terasa bahang kemeriahan dan keindahan ukhuwwah di antara mereka. Biarpun masing-masing membawa hala tuju kerjaya dan tempat yang berbeza, tidaklah menjejaskan rasa keterikatan antara mereka. Begitulah bila ikatan ukhuwwah dibina atas dasar perjuangan. Susah senang bersama ketika kampus dahulu dalam meningkatkan biah solehah dan memastikan Islam  terus dilihat releven biarpun di mana jua dan di zaman apa sekalipun mengikat mereka semua. Tambahan ahli-ahli keluarga, dengan azam memastikan mereka juga berada dalam kelompok pejuang-pejuang masa hadapan menambahkan seri pertemuan petang itu. Ramai juga yang kukenali di kalangan mereka. Antaranya, Dzulkhairi yang tampak bersemangat seperti biasa...

Aku tidak melepaskan peluang bergambar dengan akh Khairul Hidayat. Moga-moga berkekalan bahagia hingga ke anak cucu...


bersama Ust Khairul Hidayat dengan zaujahnya. Barakallah!

bersambung....

No comments:

Post a Comment