Masjid Sultan Abu Bakar
| Masjid Sultan Abu Bakr |
| mimbar masjid yang unik. Gambarnya agak kelam, :( |
| ruang solat masjid |
| 'close up' mimbar |
Tidak berapa lama kemudiannya, memandangkan kami melalui arah ke masjid yang cukup bersejarah, Masjid Sultan Abu Bakar, makanya kami berhenti di sana buat sementara. Walaupun sudah agak lewat, kami masih sempat menunaikan solat Dhuha di masjid tersebut. Masjid ini mempunyai pemandangan ke arah Singapura dan Selat Tebrau yang terbentang luas. Dari senibinanya, ternyata masjid ini punya sejarah yang lama. Dari usianya setua 116 tahun, pastinya menyimpan sejarah yang cukup lama. Walaupun diambil daripada nama Sultan Abu Bakar yang mengarahkan pembinaannya, namun baginda sendiri tidak dapat melihat hasil pembinaannya kerana telah dipanggil mengadap Yang Maha Esa terlebih dahulu. Memasuki ruang solat masjid ini, aku teruja dengan senibina mimbarnya yang cukup unik...
Siapa Sultan Abu Bakar ni? Baginda adalah orang yang bertanggungjawab mengilhamkan nama Johor Bahru pada ibu negeri Johor ini. Malahan, baginda juga banyak berjasa dalam membangunkan Johor Bahru sebagai suatu kawasan yang maju dan teratur pengurusan dan pembangunannya. Kebijaksanaan sultan-sultan Johor dan penasihat-penasihatnya menyaksikan dalam sejarah, terpeliharanya kedaulatan kerajaan Johor dan pengiktirafan oleh British sendiri kepada kerajaan itu.
Bagi sesiapa yang masih ingat akan sejarah Malaysia yang dipelajari ketika Tingkatan 3, masjid ini menyaksikan kebangkitan orang Melayu di Johor menentang gagasan Malayan Union. Demonstrasi menentang gagasan tersebut diadakan berhadapan dengan masjid tersebut untuk membakar bendera Union Jack. (tak ada pula kena gas pemedih mata ketika ini atau ditangkap dan dipenjarakan, hehe...).
Antara Alam dan Pembangunan
Alam itu tersedia buat manusia merenung ciptaanNya. Sebesar atau seindah mana pun bangunan-bangunan milik manusia, tidak terlawan oleh ciptaan Yang Maha Agung. Malahan banyak ciptaan manusia itu terilham dari alam. Contohnya, kapal terbang diilhamkan daripada burung, kapal selam daripada paus dan kamera daripada mata manusia sendiri.
Setelah semenjak semalam melalui bandar-bandar, biarpun bangunan-bangunannya sangat mewah, cantik dan mempesonakan, tiadalah yang lebih menenangkan daripada melihat alam ciptaan Tuhan. Selepas masjid Sultan Abu Bakar, masa yang tersisa kami langsaikan dengan menghabiskan masa di Zoo Johor, yang berdekatan dengannya seterusnya ke Danga Bay.
| Seladang- lambang negeri Johor |
| 'close up' Seladang - kelihatan sangat marah dan mahu menanduk penonton saja... |
| falmingo! burung yang boleh berdiri satu kaki... |
| Harimau Belang! lambang Malaysia terutamanya bagi skuad bola sepak negara (yang akan berhadapan dengan Indonesia dalam perlawanan final AFF Suzuki Cup) |
Walaupun kecil dan padat, namun Zoo Johor tetap punya keunikannya yang tersendiri. Kebanyakan penjaga zoo sangat ramah dan mesra, malahan banyak binatang yang dibawa keluar semata-mata untuk menghibur tetamu-tetamu yang datang. Sekali imbas, tempat ini bukan tempat yang sesuai buat kami yang masih bujang dan tidak berkahwin. Kebanyakan pengunjung yang datang mempunyai keluarga dan kekasih, Sesekali, aku menjeling pasangan-pasangan muda yang bergentel sesama mereka, entah menghargai atau tidak binatang yang dilihat atau tidak. Mahu sahaja aku berikan mereka poster besar itu, atau lekat sahaja di dahi! Tidak tahu malu!
Antara alam dan pembangunan, hati manusia tetap mengarah pada alam. Jika tidak, tiadalah manusia itu bersusah payah mengumpulkan binatang-binatang liar itu di sini. Begitu juga di Danga Bay, perahu-perahu layar yang berlabuh itu tidak akan ada sekiranya tanpa alam. Bagiku, laut yang terbentang luas itulah tarikannya.
Laut dan binantang... bukankah kedua-duanya ciptaan Tuhan? Masihkah kita ini merasa ego dan besar diri semata-mata hanya mampu membina bangunan-bangunan pencakar langit?
1.15 petang, kami bertolak meninggalkan JB, menuju Melaka memenuhi undangan seorang sahabat lama yang aku kenali semenjak di kampus UniMalaya dulu....
Bersambung....
No comments:
Post a Comment