Aku dan akh Nik bersiap awal untuk memenuhi jemputan sarapan di rumah Dr. Fadzli Yazid. Sepanjang menunggu akh Fikri untuk sama-sama bertolak ke rumah Dr, akh Nik berdiskusi dengan akh Razak berkenaan jalan-jalan di sekitar Kuantan. Rancangannya, selepas sarapan di rumah Dr, kami akan ke Teluk Chempedak, dan Benteng di hadapan Hospital Tengku Ampuan Afzan untuk menampal poster. Akh Nik yang merupakan 'co-pilot'ku diberi tugas untuk mendalami jalan-jalan bagi memudahkan perjalanan kami kelak. GPS masih lagi disimpan untuk digunakan pada waktu yang lebih terdesak.
Asalnya berjanji untuk ke rumah Dr pada jam 6.45pagi, tetapi mungkin ada urusan yang mendesak menyebabkan akh Fikri terlambat untuk mengambil kami. Sesampai di rumah penginapan kami, akh Fikri mengajak akh Abdullah dan Abe untuk ikut sekali. Akh Fikri mendahului dengan membawa kereta wiranya dengan kelajuan yang agak tinggi atas kelewatan waktu berjanji dengan Dr. Risau juga jika terjadi apa-apa. Aku bukan asing pada kemalangan di kelajuan yang tinggi. Beberapa minggu sebelumnya, aku mengalami 'aquaplanning' selepas membelok secara ekstrem di sebuah selekoh yang agak tajam di Kuala Lumpur, nasib baik tiada kerosakan fizikal pada diri dan kereta.
Kami tiba di Rumah Dr. pada jam 7.10 pagi.
Perjumpaan di Rumah Dr Fadzli Yazid
Memasuki rumah Dr, sudah tersedia di atas meja, nasi lemak buatan sendiri untuk menjamu kami di atas meja hidangan. Tidak terlupa olehku untuk membawa kalendar PAPISMA bersama. Tidak melengahkan waktu, kami dijemput ke meja hidangan untuk santapan sarapan. Nasi lemak digandingkan dengan sotong sambal, dan telur bersama dengan sambal ikan bilis benar-benar membuka selera. Aku sendiri mengambil kesempatan untuk menambah sebanyak dua kali. Terima kasih pada Dr. Fadzli Yazid atas kesudian melayan kami semasa berada di Kuantan biarpun punya jadual waktu yang padat.
Salah Faham yang Dibetulkan
Sebenarnya, semenjak bertemu dengan Dr tempoh hari, Dr menganggap kami adalah 'graduates' daripada HUSM. Kami tidak pula membetulkannya disebabkan masih lagi rasa kekok dengan Dr. Apatah lagi, kami berpendapat Dr. hanya menanyakan berkenaan dengan sahabat-sahabat kami daripada HUSM, memandangkan kami kedua-duanya berasal dari Kelantan dan Besut, Terengganu. Hanya di kesempatan bersarapan dengan Dr akhirnya dapat kami membetulkan letak duduk perkara yang sebenarnya. Sahabat-sahabat daripada UIA terpinga-pinga kehairanan pabila Dr. menanyakan kepada kami perkara-perkara berkaitan dengan HUSM. Maaf buat Dr. atas sedikit salah faham ini.
Perjumpaan berakhir dengan penyerahan kalendar PAPISMA pada Dr. Fadzli Yazid atas wakil PAPISMA Kuantan untuk diedarkan pada ahli-ahli PAPISMA Kuantan, mahasiswa-mahasiswa perubatan dan rakan-rakan terdekat.
Kami berpisah dengan kelompok sahabat-sahabat daripada UIA Kuantan dan menuju Teluk Chempedak. Terima kasih pada kalian atas kesudian menjadi hos kepada kami sepanjang kami berada di Kuantan.
bersambung...
No comments:
Post a Comment