Asalnya berjanji dengan Nani Shaheda pada waktu tengahari, namun atas komitmen dakwah dan masa yang terlalu hampir pada waktu Jumaat, kami terpaksa bertolak selesai kami menampal poster di Tangkak. Masih terngiang dialog antaraku dan pak cik-pak cik dan mak cik di Tangkak tadi. Aku menyatakan rasa tidak senang layanan diberikan kepada akh Nik, yang senyap seribu bahasa, hanya mampu mengangguk-angguk kepala atas apa yang berlaku. Demi membuang rasa tidak senang itu, sesekali kulontarkan gurauan-gurauan nakal pada akh Nik. Aku menyatakan nantinya ada pegawai yang melayari website yang tertera di poster yang kami tampal itu, dan memberi kata dua berkenaan dengan poster tersebut sehinggakan sanggup mendenda kami melalui website itu! - sesuatu yang tidak mungkin terjadi...
Muar- Bandar Maharani
Aku sering juga keluar 'outing' ke sini, kerana ketika aku berada di KMJ, Tangkak hanyalah pekan kecil, dan tiada tarikan buat pelajar-pelajar seperti aku, yang mahu mencari tempat membeli belah yang lebih berprestij. Seperti juga Tangkak, Bandar Muar juga telah berubah sama sekali. Dan sangat sibuk!
Kami tiba di Muar, seterusnya menuju ke rumah ukhti Nani, yang berada berdekatan dengan bandar. Dengan hanya berpandukan pedoman yang diberikannya melalui sms, aku membawa kereta menuju Hospital Pakar Sultanah Aminah, Muar, melepasinya sehinggalah ke destinasi di pinggir bandar Muar.
Aku dulunya hadir di majlis walimah ukhti Nani dan akh Hafiz dan sememangnya pernah menjejak kaki ke rumah Nani, namun pada waktu itu, aku mengikuti jalan yang lain. Bahkan, bukan aku yang membawa kereta, hanya sekadar mengikuti akh Fadhli daripada Melaka. Pada mulanya, rumah yang lain disangka rumah ukhti, namun setelah memori-memori tika itu kembali mengisi ruang minda, ternyata aku telah tersalah rumah, dan cepat-cepat aku ke rumah yang sebenarnya. Nasib baik, tiada mata-mata kehairanan memandang biarpun ada ramai juga orang di kedai makan berdekatan.
Kami tiba di rumah ukhti Nani tepat jam 3.30petang.
Akh Hafiz dan Pasangannya Ukhti Nani
Kedua-duanya aku kenali semenjak waktu kampus dulu. Ukhti Nani sebaya denganku manakala akh Hafiz muda setahun daripadaku. Kedua-duanya juga sama-sama aktif dalam gerak kerja Islam di kampus. Aku senang dengan mereka berdua, punya komitmen yang tinggi dahulu. Istimewanya mereka adalah perkahwinan mereka adalah tika di 4th year dan merupakan di antara mereka yang terawal mendirikan rumahtangga di kalangan mahasiswa kampus kami. Apa yang lebih istimewa adalah mereka antara peserta yang masuk saringan program realiti 'cari menantu' di kaca tv suatu masa dahulu. (pening juga aku memikirkan tentang itu tika itu, hehe :)). Banyak yang boleh dipelajari daripada mereka untuk mendapat restu dari kedua-dua ibu bapa, seperti memberi artikel-artikel berkaitan perkahwinan dan berkomunikasi secara 'slow talk'. Bagi remaja-remaja di luar sana yang ingin berkahwin, komunikasi dengan kedua ibu bapa sangat penting kerana restu mereka antara jaminan perkahwinan yang bahagia.
Kami disambut oleh adik lelaki ukhti Nani, yang kebetulannya masih menjalani peperiksaan SPM. Kami dipelawa duduk semenetara menunggu ukhti Nani bersiap di dalam. Aku dan akh Nik bersalaman dengan adik dan ayahnya. Seketika kemudian, Nani keluar membawa anaknya sekali, Harraz yang sudah semakin besar berbanding lebih kurang satu tahun yang lalu. Kami dipandang asing oleh Harraz yang tidak mahu menyalami kami. Akh Hafiz masih belum balik daripada hospital. Ukhti Nani kebetulannya cuti akhir posting, jadi boleh berjumpa kami sementara menunggu akh Hafiz pulang. Lebih kurang 4.30 petang barulah kami berkesempatan bertemu akh Hafiz.
Setelah sekian lama tidak berjumpa, banyak yang dibualkan terutama rakan-rakan kami di kampus dahulu. Maklumat-maklumat terkini mereka juga dikongsikan bersama. Aku mengambil kesempatan bertanyakan berkenaan dengan gerak kerja mereka di Muar. Alhamdulillah, kedua-duanya masih mengikuti usrah, biarpun mungkin hanya sesekali.
Tepat jam 5.30 petang, kami bergerak menuju Batu Pahat- Dr. Khairussaleh menanti!
bersambung...
No comments:
Post a Comment