Friday, December 17, 2010

Hari Kedua Kembara: Cabaran di Johor

Perjalanan ke Johor dari Kuantan memakan masa selama 2 jam. Kami mengikut arah Segamat, dengan tujuan untuk singgah di Muar seketika menjenguk rakan lama kami di kampus dahulu, Dr. Hafiz dan Dr. Nani. Di kiri dan kanan kami, pohon-pohon kelapa sawit yang tinggi mahu pun yang rendah adalah kebiasaan sepanjang perjalanan. Mungkin kerana keberadaan tanah gambut di Johor menyesuaikan penanaman tumbuhan tersebut di sana.

Cabaran di Tangkak
Dalam perjalanan ke Muar, kami berhenti untuk solat Jumaat di Tangkak sekaligus mengqasar dan jamakkan solat Asr kemudiannya. Seusai solat Jumaat, kami menapak menuju ke pekan tangkak untuk mencari lokasi-lokasi sesuai untuk poster kami. Pekan Tangkak telah banyak berubah semenjak aku meninggalkan tempat ini pada  tahun 2002. Banyak bangunan-bangunan baru yang dibina, dan adanya jalan-jalan yang lebih selesa berbanding dulu. Kami melewati satu majlis yang dianjurkan oleh MCA Tangkak. Kelihatan ramai juga orang-orang Melayu yang berada di situ. Terdetik juga di hati, apa yang mereka buat di sana, sehingga beberapa bas disewa semata untuk meraikan majlis anjuran mereka. Bukan ingin meniup sentimen politik atau api perkauman di sini, mungkin sahaja mereka berada di sana atas jemputan pihak MCA; cuma mempersoalkan mengapa majlis anjuran orang Melayu sendiri tidak mendapat sambutan yang sedemikian? adakah kerana berbeza fahaman politik menyebabkan berlaku peminggiran sekelompok daripada sekelompok yang lain?

Aku tiada masalah mencari tempat-tempat yang strategik kerana susunan bangunan-bangunannya masih sama, masih terdapat bangunan-bangunan yang dahulunya aku sangat 'familiar'. Hentian bas dan teksi Tangkak menjadi tempat tuju. Arked Tangkak juga menjadi sasaran. Kedua-duanya masih di lokasi yang sama seperti ketika aku belajar di Kolej Matrikulasi Johor (KMJ) dulu. Aku menyedari sepanjang perjalanan ke situ, kebanyakan tempat adalah bersih daripada sebarang tampalan-tampalan iklan dan poster. Yang ada cuma bekas-bekas koyak bahan-bahan tersebut. Aku menjadi ragu-ragu. Apatah lagi, melangkah masuk sahaja ke dalam arked, nun di hujung sana kelihatan dua orang perempuan berpakaian kemas beruniform pegawai majlis daerah sedang asyik bercakap di meja kedai makan di dalam arked tersebut. Aku mengambil keputusan untuk tidak menampal poster di situ, hanya nekad untuk menampal poster di hentian bas dan teksi Tangkak.

Jika di Kuala Berang, kami disambut dengan ramah, malahan sempat memberi pendapat dari mereka yang berada di sekitarnya, di sini kami dipandang dengan pandangan dingin oleh orang ramai. Aku tidak mengendahkan situasi itu, sehinggalah seorang makcik yang berada benar-benar berhadapan dengan kami menegur.

'Dik, tak boleh tampal poster di sini.'
Kemudian, datang beberapa orang lagi di sekitarnya, dua orang pak cik, seorang Melayu dan seorang Cina menghampiri kami.

'Ya, dik. Tak boleh tampal poster di sini. Tengok... mana ada orang tampal di sini. Kalau ada pun, dah kena buang...' sambil menunjukkan kepada bekas-bekas tampalan di dinding stesen itu.
 Ujar si pak cik Melayu, gayanya seperti pemandu teksi.
 'Kami bukan tampal iklan atau benda yang tak baik. Poster ni poster baik pak cik...'
 Aku menjadi juru cakap dan membiarkan Nik menampal poster berkenaan.
'Ya, pak cik tahu tu. Pak cik tak menyebelah mana-mana pihak, cuma menyatakan aje. Kalau nak tampal kena dapatkan kebenaran majlis daerah. Kena bayar...'
Mendengar perkara bayaran, aku menjadi sedikit tidak selesa. Aku sedar kekadang pihak berkuasa boleh sahaja memberi kebenaran tanpa dikenakan bayaran, tapi... situasi masa kini, segala-galanya dikenakan bayaran. Aku juga sedar, jika kami ditangkap dalam keadaan dan situasi sebegini, ada kemungkinannya untuk kami didenda.
 'Kami nak buat perkara baik, nak suruh orang jauhi zina. Tapi, kalau pihak berkuasa nak buang, terpulanglah.'
 Aku menutup budi bicara, dan meminta Nik menyiapkan kerja dengan lebih cepat. Seterusnya, kami bergegas kembali ke kereta untuk menyambung perjalanan ke Muar. Sepanjang perjalanan, aku bertanya-tanya juga akan nasib poster-poster yang kami tampal sepanjang kembara kami. Agak-agaknya, ada postensi besar untuk dibuang atau dikoyakkan. Aku pujuki diri ini juga...
Ah, sekurang-kurangnya, ada juga orang yang baca sebelum dikoyak atau dibuang nanti... insyaAllah
Dalam diam, aku berdoa moga-moga ada yang terdetik di hati membaca dan diberikan hidayah dari Ilahi.

bersambung...

No comments:

Post a Comment