Saturday, December 11, 2010

9 Disember - kembara bermula! (3)

Sahabat-sahabat UIA
Selepas beristirehat di rumahnya, kami dibawa berjumpa dengan sahabat-sahabatnya yang lain di Indera Mahkota, Kuantan tidak jauh dari kampus UIA. Menyedari lebih selesa berada di sekitar orang bujang juga, kami ditempatkan bersama-sama dengan mereka. Kami diperkenalkan dengan Zul, Razak, dan Afif (Abe). Zul, orang Kelantan, Razak orang Alor Star, Kedah dan Abe orang Cerang, Kelantan. Semuanya adalah dari kursus allied health- Farmasi, Biotech. Agak petang juga apabila aku mendapat khabar dari Dr. Fadzli Yazid yang mempunyai jadual yang agak padat pada malam itu, jadinya pertemuan ditunda ke pagi esok di rumahnya.

Mendekati waktu maghrib, kami bersama dengan Abe menuju ke masjid berdekatan untuk solat maghrib. Aku berbuka puasa dengan 3 biji kurma seterusnya biskut Oat Crunch sebagai pelapis perut. Kemudiannya, aku menyertai jamaah untuk solat maghrib disambungkan dengan 2 rakaat solat Qasr Isya'.

Sesudah solat Isya', kami ke sebuah restoren di tepi jalan berdekatan dengan masjid untuk menjamu selera. Kami didatangi dua lagi sahabat dari UIA- akh Mujahid dan akh Abdullah. Kami berenam bertukar-tukar maklumat, sesekali bergurau senda. Indahnya bila ukhuwwah dibina atas dasar aqidah Islam sekalipun berbilang-bilang negeri dan latar belakang. Ini barulah dikatakan one ummah, :)

Perancangan yang Tidak Menjadi
Asalnya, ingin turun ke Teluk Chempedak pada malamnya, tapi oleh kerana keletihan yang teramat, disorongkan bantal sahaja, aku dan Nik terlena. Nik siap berdengkur! sekitar 1.15 pagi, baru aku terjaga. Itupun, sahabat-sahabat UIA sudah lama diulit mimpi. Tinggal akh Abdullah berada di bawah, sedang melayari internet. Setelah mengemaskini laporan ringkas pada PAPISMA, dan catatan peribadiku di blog, aku kembali menyambung kembara alam mimpi...

bersambung pada hari kedua kembara- menuju Johor!

2 comments: