Friday, December 10, 2010

9 Disember - Kembara Bermula!

Jam sudah menunjukkan waktu 1.15 pagi. Aku baru sahaja terjaga daripada lena, setelah 4 jam tidur sebentar tadi. Keletihan yang amat sangat sebenarnya... program untuk ke Teluk Chempedak langsung terbatal akibat tenaga yang kehabisan setelah hampir sehari mengembara, dan separuh hari berada di Kuantan.

Cerita di Pagi Hari
Hari yang bermula dengan aku bangun seawal jam 5.30 pagi untuk bersahur, terlewat satu rakaat untuk Subuh, dan meletakkan jam 8.00 pagi untuk memulakan kembara dengan mengambil akh Nik di Pasir Puteh. Makanya, aktiviti kebiasaanku seperti mengambil Mak Teh diawalkan sehingga jam 7.15pagi. Jam 7.30 pagi aku sudah bersiap siaga untuk bertolak daripada Besut. Malang sekali, di pertengahan jalan, aku dihubungi bondaku memaklumkan aku tertinggal GPS dan sehelai dua seluar trek untuk kegunaanku sepanjang kembara ini. Makanya, aku terpaksa bertolak pulang kembali ke rumahku di Alor Lintang. Nasib juga disebabkan aku baru sahaja memulakan perjalanan dan baru sahaja berada di Alor Lintah, yang mengambil masa hanya 5 minit untuk berpatah balik ke rumah.

Begitupun, setelah melakukan pemeriksaan pada kelengkapan GPS, ternyata 'mobile charger'nya tercicir entah di mana. Maknanya, GPS hanya terbatas untuk beberapa jam sahaja sehinggalah baterinya kehabisan kelak. Aku mengambil keputusan untuk tidak menggunakan GPS kerana aku sudah mengetahui jalan ke Kuantan.

Ini menyebabkan aku terlambat untuk mengambil akh Nik dan kami hanya dapat memulakan kembara secara rasmi bermula jam 8.45 pagi dengan titik mulanya di Pasir Puteh. Aku berhenti di Petronas Jerteh, pada jam 9.10 pagi dan seterusnya melalui jalan Kuala Berang - Kuantan untuk sampai di destinasi.

Cerita di Kuala Berang
Perhentian pertama kami adalah di Kuala Berang. Jam menunjukkan pukul 10.30 pagi semasa kami sampai di Masjid Kuala Berang. Satu kalendar PAPISMA ditampal di masjid. Setelah menunaikan solat Dhuha, kami berjalan menyelusuri pekan Kuala Berang, melihat-lihat kebarangkalian untuk menampal poster jauhi zina. Kedapatan sebuah stesen teksi dan hentian bas benar-benar bersebelahan masjid menjadi sasaran kami. Sebelumnya kami terpaksa mencari farmasi yang berdekatan untuk membeli 'tape' yang baru disebabkan aku tertinggal 'tape' yang diberikan Dr. Awisul.

Ketika asyik menampal poster, kami didatangi seorang pak cik 'taxi driver'. Seorang pak cik lain yang sedang menunggu bas juga, agak berminat dengan poster yang kami tampal.

'Ni daripade majlis agame ke?' soal pak cik yang menunggu bas, dalam loghat bahasa Terengganu pekat.
 Aku tersenyum, dalam hatiku tergelak kecil. Mungkin perwatakanku berkopah putih dan berpakaian segak disalahfaham sebagai seorang pegawai agama.
'Tak pak cik, ni daripada NGO, PAPISMA.' akh Nik memberikan penjelasan.
 'Hmmm... kahwin lebih mudoh. Ape lebih mudohnye... le ni kahwin mahal weih. Baru-baru ni, di Masjid Wilayah, nok tahu mas kahwin die RM20 000!' celah pemandu teksi.
 Aku tersenyum lagi. Itulah apa yang berlaku pada masyarakat kita pada masa ini. Perkahwinan yang sepatutnya mudah menjadi semakin sukar. Makanya, anak muda tidak menganggap perkahwinan itu sebagai alternatif untuk menjalin hubungan yang halal. Akan tetapi, itu semua bukan alasan untuk melakukan perkara yang sama sekali melanggar syariat.

'Sebab tu, kita kene mudohkan perkahwinan. Jangan wat susoh ke anok mude le ni. Jadilah macam-macam hok kite dok suke...' aku menjawab, cuba berbahasa Terengganu juga.
Setelah selesai menampal poster, aku dan akh Nik bersalaman dengan pak cik-pak cik tadi dan seterusnya meneruskan perjalanan menuju Kuantan.

bersambung...

1 comment:

  1. Salam Hadyan... Sampai di Terengganu nanti tidur rumah ana deh...

    ReplyDelete